Sabtu, 15 Disember 2018 | 1:56pm
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. Klinik 1Malaysia di sekitar bandar Kota Bharu. - Foto Asyraf Hamzah/Syamsi Suhaimi

34 K1M ditutup kerana kurang pesakit, berdekatan fasiliti kesihatan lain - Dr Dzulkefly

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan menutup 34 daripada 347 Klinik 1Malaysia (K1M) kerana klinik terbabit menerima purata kehadiran kurang 40 pesakit sehari selain terdapat fasiliti kesihatan kerajaan lain dalam lingkungan jarak lima kilometer.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata selain itu, K1M terbabit juga tidak terletak dalam kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan penutupannya dipersetujui oleh Jabatan Kesihatan Negeri.

Katanya, walaupun kementerian sudah menetapkan kriteria, setiap K1M yang dipilih untuk ditutup akan turut dinilai secara eksklusif bagi memastikan keputusan bagi penutupan benar-benar wajar.

“Selepas melalui proses penilaian yang komprehensif, sebanyak 34 buah K1M akan ditutup kerana memenuhi kriteria di atas dan ia sudah diambil kira bagi memastikan kesan penutupan yang minimum terhadap masyarakat setempat.

“Kerajaan prihatin terhadap kebajikan golongan masyarakat B40 dan kerana itu, K1M di projek PPR tidak ditutup meskipun purata kehadiran pesakit kurang daripada 40 pesakit sehari,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Dr Dzulkefly mengulas mengenai kenyataan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di laman Facebook beliau semalam berhubung penutupan 34 buah K1M di seluruh negara.

Beliau menyifatkan kenyataan Najib itu sengaja mewujudkan kekeliruan dan pandangan yang sempit berkaitan K1M dan isu berkenaan juga sudah dijawab di Dewan Rakyat pada 12 Oktober lalu.

Mengulas lanjut mengenai penutupan K1M, Dzulkefly berkata, KKM sedang melaksanakan Pelan Transformasi Perkhidmatan Kesihatan yang disediakan di K1M, bertujuan memberi nilai tambah kepada perkhidmatan sedia ada, selain menyusun keperluan dan memaksimumkan sumber manusia serta kewangan.

Kata Dr Dzulkefly, K1M asalnya berperanan memberi rawatan kesihatan ringan kepada masyarakat di kawasan berpenduduk padat dan berpendapatan rendah, namun sejak penubuhannya, KKM mendapati bahawa bukan semua klinik terbabit beroperasi secara efektif serta mencapai matlamat penubuhannya.

Jelas beliau, daripada keseluruhan 347 K1M semasa, 293 akan ditambah nilai dan menjadi Klinik Komuniti, 20 lagi dinaik taraf fasiliti kepada Klinik Kesihatan manakala hanya 34 yang bakal ditutup.

Katanya, proses penutupan fasiliti K1M adalah secara ‘soft landing’ iaitu sehingga tamatnya tempoh sewaan premis manakala kakitangan yang terbabit akan ditempatkan semula ke Klinik Kesihatan Induk masing-masing.

“Antara tumpuan utama perkhidmatan Klinik Komuniti adalah menjurus kepada Rawatan Pesakit Luar , rawatan dan kawalan penyakit tidak berjangkit serta Kecemasan Asas.

“Selain itu, Klinik Komuniti juga akan ditambah nilai dengan menempatkan Pegawai Perubatan dan Pegawai Farmasi di fasiliti terpilih secara berperingkat,” katanya.

Menurut Dr Dzulkefly, kriteria penutupan K1M akan di kaji semula dari masa ke semasa mengikut keperluan pada masa berkenaan.

Tegas beliau, segala keputusan yang diambil kementerian adalah demi melindungi kepentingan perkhidmatan, kualiti penjagaan kesihatan yang diberikan kepada pesakit dan tidak dilakukan secara tunggal.

507 dibaca
Berita Harian X