Sabtu, 15 Disember 2018 | 12:10pm
RINA Harun. - NSTP/Mikail Ong

Desa Harapan pacu ekonomi luar bandar

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Luar Bandar akan melaksanakan inisiatif baharu membangunkan kampung sebagai pusat pemacu ekonomi, ekopelancongan dan modal insan.

Menterinya, Datuk Seri Rina Harun, berkata inisiatif dikenali Program Desa Harapan itu membabitkan penyertaan syarikat korporat, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC), selain Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

Program Desa Harapan, katanya, akan membuka ruang kepada syarikat korporat membantu kementerian merancang dan meneliti potensi yang ada pada setiap kampung, sebelum cadangan pembangunan ekonomi dirangka dan dilaksana.

“Pembabitan syarikat swasta ini bagi membolehkan mereka membantu membangunkan kampung berkenaan dengan matlamat akhirnya menjana pendapatan dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada belia di luar bandar.

“Kita pada peringkat kementerian akan menentukan kampung yang akan dipilih untuk dibantu,” katanya di sini.

1 kampung setiap negeri

Beliau berkata, bagi fasa pertama pelaksanaannya, kementerian akan memilih satu kampung bagi setiap negeri untuk dibangunkan dan jumlahnya dijangka akan terus bertambah pada masa depan.

Rina berkata, kementeriannya sudah memperoleh kata sepakat dengan 25 syarikat kor-porat untuk menjayakan program manakala pelancarannya akan dibuat tidak lama lagi.

“Harapan saya semoga lebih banyak lagi syarikat korporat tampil bekerja sama dengan kementerian. Kalau banyak syarikat korporat bekerjasama, lebih banyak kampung dapat dibangunkan.

“Sudah pasti apa yang akan diperkenalkan ini mementingkan hasil. Jawatankuasa pada peringkat kementerian yang memantau perkembangan program ini. Ada petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan untuk jangka masa berkala supaya kita dapat lihat ada perkembangan pada kampung terpilih,” katanya.

Dana korporat

Ditanya sama ada kementerian akan menyediakan peruntukan khas bagi palaksanaan program baharu ini, beliau menjelaskan peruntukan terbesar akan dijana menerusi korporat.

“Sebenarnya kos kementerian cukup minimum. Inisiatif ini akan menggunakan dana tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat korporat. Tugas kementerian mengenal pasti kampung, profil kampung dan bilangan penduduk.

“Apabila kita berbincang dengan syarikat korporat, kita akan fokus kepada projek yang sesuai untuk dilakukan syarikat terbabit di kampung terpilih. Mungkin berpaksi kepada eko-pelancongan, pembangunan infra atau berkaitan aktiviti pertanian dan perladangan,” katanya.

Beliau yakin, kemampuan kewangan yang dimiliki syarikat korporat dan GLC di negara ini membolehkan mereka menyumbang kepada pembangunan kampung dan desa.

“Sebelum ini, mereka banyak melakukan aktiviti CSR di luar bandar. Menerusi Program Desa Harapan, aktiviti CSR dilaksana lebih berstruktur terutama apabila ada projek yang mahu dilakukan dengan sokongan kerajaan negeri atau pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Rina berkata, sebagai perintis pelaksanaan Program Desa Harapan, Kampung Kincang di Tapah, Perak dipilih sebagai lokasi pelancarannya kerana khazanah alamnya yang indah dan lokasi air terjun tertinggi di Asia Tenggara.

“Ini antara kriteria yang diambil kira kementerian dalam memilih kampung yang berpotensi untuk dimasukkan dalam Program Desa Harapan. Selain ekopelancongan, keupayaan dari aspek pertanian dan perladangan, industri kecil dan sederhana juga dititikberatkan.

“Kita mahu mencapai matlamat asal supaya kawasan kampung dapat dimajukan dengan aktiviti ekonomi setempat. Keadaan ini sudah pasti dapat mengurangkan penghijrahan anak muda ke bandar,” katanya.

333 dibaca
Berita Harian X