Jumaat, 14 Disember 2018 | 6:05pm
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Dr Mahathir akan terima Ijazah Kehormat Kedoktoran Rangsit University

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan dianugerahi Ijazah Kehormat Kedoktoran dalam Seni bagi Bidang Kepimpinan Sosial, Keusahawanan dan Politik daripada Rangsit University, Thailand semasa lawatan beliau selama dua hari ke negara itu mulai esok.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam kenyataannya hari ini berkata, ijazah itu akan disampaikan oleh Presiden Rangsit University, Dr Arthit Ourairat pada Ahad (16 Disember).

“Penganugerahan ijazah itu oleh Rangsit University adalah sebagai pengiktirafan kepimpinan Perdana Menteri terutama dalam menjaga kepentingan Malaysia dan negara sedang membangun yang lain yang memberi kesan signifikan kepada masyarakat secara meluas,” menurut kenyataan itu.

Wisma Putra berkata, Perdana Menteri juga akan menyampaikan ucaptama kepada siswa-siswi universiti itu semasa majlis penganugerahan itu.

Majlis penganugerahan itu akan didahului dengan Jamuan Gala bagi meraikan lawatan kerja Perdana Mentgeri yang dihos oleh Presiden universiti itu, esok.

Menurut Wisma Putra, Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali akan diiringi oleh Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan para pegawai kerajaan yang lain.

Dr Mahathir melakukan lawatan ulung beliau ke Thailand pada Oktober lepas setelah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh.

Malaysia dan Thailand menjalinkan hubungan dua hala yang erat selama 61 tahun, dengan Thailand menjadi antara 20 negara yang pertama mewujudkan hubungan diplomatik dengan Malaysia sejak 1957.

Kedua-dua negara mengadakan kerjasama erat dalam pelbagai sektor termasuk perdagangan dan pelaburan.

Thailand adalah rakan perdagangan terbesar yang kelima bagi Malaysia dengan jumlah perdagangan dua hala antara kedua-dua negara itu pada 2017 ialah RM98.69 bilion, satu peningkatan 18.43 peratus berbanding 2016. – BERNAMA

Berita Harian X