Jumaat, 14 Disember 2018 | 4:32pm
Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran V Murugeson (kiri) disambut oleh kakitangan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri, ketika mengadakan lawatan kerja pertamanya ke ILP Miri. - Foto Kandau Sidi

PM akan tentukan pengerusi baharu NIOSH - Kulasegaran

MIRI: Kementerian Sumber Manusia menyerahkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, untuk menentukan pengganti Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, berkata ketika ini jawatan itu masih disandang Tan Sri Lee Lam Thye sehingga calon penggantinya diumumkan.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan tiada keperluan untuk kerajaan “tergesa-gesa” melantik Pengerusi NIOSH yang baharu kerana Lam Thye melaksanakan tugasnya dengan baik dan banyak menyumbang kepada institusi itu.

“Memang ada individu layak menggantikan beliau, namun keperluan itu tidak terlalu mendesak.

“Jadi, kita serah kepada perdana menteri untuk membuat sebarang keputusan mengenainya,” katanya pada sidang media selepas melawat Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri, di sini hari ini.

Turut hadir, ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Dr Ting Tiong Choon.

Menyentuh mengenai lawatan kerjanya, beliau berkata, Kementerian Sumber Manusia sedang mempertimbangkan cadangan menambah bilangan tenaga pengajar di ILP Miri.

“Ketika ini, terdapat seramai 67 tenaga pengajar di ILP Miri. Sepatutnya, terdapat seramai 83 tenaga pengajar. ILP Miri mengalami masalah kekurangan 20 tenaga pengajar.

“Kita akan tambah tenaga pengajar itu bagi memenuhi keperluan tenaga pengajar itu dalam tempoh terdekat. Sekali gus untuk memastikan lebih ramai anak Sarawak mendapat peluang latihan kemahiran di situ,” katanya.

Beliau berkata, permintaan untuk pelajar yang ingin mendapatkan latihan di ILP Miri agak tinggi berbanding institusi sama di negeri lain.

Justeru, katanya, kementerian itu akan memastikan pengambilan pelajar yang lebih ramai di ILP Miri, selain memastikan tawaran kursus baru yang sesuai dengan permintaan tenaga kerja semasa.

Berita Harian X