Rabu, 12 Disember 2018 | 11:00pm

Laksana ILS sebelah selatan, bukan di utara

PUTRAJAYA: Ketegangan antara Malaysia dan Singapura boleh dielak dengan melaksanakan tatacara Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) yang baharu bagi Landasan 03 di sebelah selatan Lapangan Terbang Seletar, dan bukannya Landasan 21 di sebelah utara yang dibantah.

Kementerian Pengangkutan dalam satu kenyataan hari ini, menyatakan penghargaan secara ikhlas kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) atas komitmennya untuk membangunkan tatacara penerbangan instrumen untuk Landasan 03 dalam ruang udara kedaulatan Singapura.

Pihak kami yakin sepenuhnya bahawa melalui beberapa kreativiti, tatacara ILS yang baharu untuk Landasan 03 di selatan Lapangan Terbang Seletar, yang dijamin oleh CAAS semasa mesyuarat dengan CAAM (Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia) pada 29 November lalu, tidak akan memberikan apa-apa kesan tambahan kepada pengguna ruang udara yang lain, perniagaan dan penduduk di Singapura,” katanya.

Malaysia membantah penyiaran tatacara Sistem Pendaratan Instrumen baharu oleh Singapura di Lapangan Terbang Seletar kerana menceroboh ruang udara Malaysia, dan dijangka berkuatkuasa pada 3 Januari.

Tatacara ILS merujuk kepada kaedah pendaratan yang dibantu alat pandu arah di lapangan terbang yang memberi panduan kepada juruterbang semasa penerbangan menurun dan merapati landasan.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Pengangkutan berpandangan bahawa langkah Singapura secara bersendirian menyiarkan tatacara ILS yang baharu untuk Lapangan Terbang Seletar melalui Penerbitan Maklumat Aeronautika (AIP) memang jelas mencabuli kedaulatan Malaysia dan melanggar standard antarabangsa.

Kementerian Pengangkutan, dalam kenyataan sama, mengulangi bahawa tidak pernah CAAM bersetuju atau memberi kebenaran untuk penyiaran tatacara ILS yang baharu untuk lapangan terbang Seletar.

Berhubung kenyataan Kementerian Pengangkutan Singapura pada 10 Disember lalu, Kementerian Pengangkutan Malaysia berkata ia bersetuju sepenuhnya bahawa ada baiknya jika rundingan dirahsiakan untuk membantu pertukaran secara terus-terang dan konstruktif.

“Ia adalah soal prinsip bagi MoT Malaysia tidak menyiarkan surat-menyurat antara pihak-pihak berkaitan untuk menangani pertanyaan media dan untuk mendapatkan sokongan orang ramai,” kata kementerian.

Isnin lalu, Malaysia meminta pendedahan penuh mengenai laluan penerbangan Lapangan Terbang Seletar yang dipertikaikan dengan menyiarkan lebih banyak surat.

Ini berikutan Kementerian Pengangkutan Singapura pada 4 Disember lalu mengeluarkan dokumen berkaitan perundingan yang diadakan dengan Malaysia mengenai tatacara ILS yang dicadangkan, yang disifatkan Kementerian Pengangkutan Malaysia seagai ‘separa dan berpilih’.

Kementerian Pengangkutan Singapura dalam maklum balasnya berkata, ada baiknya bagi rundingan dirahsiakan untuk membantu pertukaran pandangan secara terus terang dan konstruktif.

Kementerian Pengangkutan Malaysia berkata perbincangan pada 30 November hanya mengkaji rekod perbincangan hari sebelumnya terutama mengenai Pengurusan Surat Perjanjian 1974 dan keputusan Malaysia untuk mengambil balik ruang udara kedaulatan yang diwakilkan kepada Singapura untuk penyediaan perkhidmatan trafik udara , dan tatacara ILS yang baharu untuk Lapangan Terbang Seletar.

“Untuk ini, Kementerian Pengangkutan Malaysia ingin mengulangi bahawa tidak pernah CAAM , sama ada bersetuju atau memberi kebenaran bagi penyiaran tatacara ILS yang baharu untuk lapangan terbang Seletar,” katanya. - BERNAMA

1341 dibaca
Berita Harian X