Selasa, 11 Disember 2018 | 2:47pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melawat pameran ketika hadir pada Program Biodiesel B10 di Sektor Pengangkutan di Dataran Putra, Putrajaya. Turut bersama Menteri Industri Utama, Teresa Kok (kiri). - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

Henti import minyak sawit luar - Teresa Kok

PUTRAJAYA: Kerajaan menggesa syarikat minyak sawit di negara ini untuk menghentikan pengimportan minyak sawit mentah (MSM) dari negara luar.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok, berkata syarikat itu sebaliknya digalakkan menggunakan bekalan keluaran dalam negara sebagai sebahagian usaha membantu peladang tempatan yang sedang ‘menderita’.

Beliau berkata, langkah itu berikutan penambahan jumlah stok minyak sawit Malaysia bagi November sebanyak 10.45 peratus kepada 3.01 juta tan daripada 2.72 juta tan pada Oktober.

“Jumlah stok minyak sawit Malaysia adalah agak tinggi. Kita juga mendapati ada dalam kalangan syarikat kita mengimport minyak sawit negara jiran.

“Jadi pada masa yang kritikal ini kita mahu menggesa mereka untuk tidak lagi mengimport minyak sawit untuk diproses di kilang penapisan mereka tetapi menggunakan minyak tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Pelaksanaan Program B10 Sektor Pengangkutan di Dataran Putra, di sini hari ini.

Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dalam laporan bertajuk Prestasi Industri Minyak Sawit Malaysia bagi Bulan November 2018 yang dikeluarkan semalam memaklumkan jumlah stok minyak sawit Malaysia bagi November bertambah 10.45 peratus kepada 3.01 juta tan daripada 2.72 juta tan pada Oktober.

Stok minyak sawit mentah (MSM) meningkat 10.91 peratus kepada 1.79 juta tan dalam bulan dikaji daripada 1.61 juta tan bulan sebelumnya.

Stok minyak sawit diproses pula bertambah sebanyak 9.79 peratus kepada 1.22 juta tan daripada 1.11 juta tan sebelumnya.

Selain itu Kok berkata, kerajaan tidak memberi tempoh masa tertentu kepada syarikat terbabit untuk melaksanakan tindakan pemberhentian berkenaan.

“Kita perlu membantu peladang kecil kita dan jika kita boleh mempertingkatkan penggunaan minyak sawit dalam negara, kita boleh menstabilkan atau menambah harganya supaya ia dapat memanfaatkan peladang tempatan,” katanya.

Berita Harian X