Isnin, 10 Disember 2018 | 1:51pm

Bimbang nasib pekerja, peminjam AIM - KEPAIM

TAIPING: Cadangan pembatalan atau pemansuhan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) jika diteruskan akan memberi kesan buruk kepada lebih 3,100 pekerja dan peminjam membabitkan kemudahan itu di seluruh negara.

Presiden Kesatuan Pekerja-pekerja Amanah Ikhtiar Semenanjung Malaysia (KEPAIM), Ismail Yahya, berkata selain memikirkan hala tuju kakitangan AIM, pihaknya turut bimbang terhadap dana syarikat berjumlah lebih RM20 bilion yang dipinjamkan kepada lebih 377,000 peminjam seluruh negara sejak tahun 1996 hingga Jun lalu.

“Bagi negeri Perak sahaja, kita ada sekitar 30,000 peminjam dengan modal kumulatif sebanyak RM194 juta dan dari jumlah itu, kita sasarkan pulangan kutipan berjumlah RM2 bilion pada tahun 2018.

“Jika AIM dibatalkan, ianya memberikan kesan negatif bukan sahaja hala tuju 3,100 kakitangan seluruh Malaysia, malah peminjam sendiri kerana kebanyakan peminjam ini adalah golongan berpendapatan rendah yang sukar memperolehi pinjaman dari mana-mana institusi bank dan sebagainya.

“Sejak isu ini (pembatalan AIM) diperkatakan sehingga hari ini kitangan AIM menerima banyak pertanyaan daripada peminjam yang bertanyakan nasib mereka di mana hendak meminjam wang atau dana semudah AIM.

“Mereka juga bertanya adakah mereka tidak perlu membayar lagi dana yang telah dipinjam sekiranya AIM dibatalkan. Namun, kakitangan berjaya meyakinkan mereka bahawa AIM akan diteruskan,” katanya dalam sidang media di Pejabat AIM Cawangan Taiping, di sini hari ini.

Ismail berkata, berdasarkan maklumat dan kenyataan yang dibuat Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AIM, Datuk Junaidah Kiting, AIM tidak ditutup sebaliknya pembatalan dua anak syarikat yang dikatakan tidak memenuhi syarat Suratcara Ikatan Amanah.

Katanya, walaupun kenyataan itu dibuat, ramai pekerja AIM menyatakan kebimbangan jika AIM turut dihentikan serentak dengan anak syarikat berkenaan.

Isu AIM hangat diperkatakan apabila Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin, ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat, Khamis lalu, mengumumkan kerajaan sedang menyediakan dokumen yang diperlukan untuk memulakan prosedur pembatalan sijil Pemerbadanan AIM kerana tidak memenuhi syarat Suratcara Ikatan Amanah, terutama dalam penubuhan anak syarikat.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Radzi Jidin, kelmarin menjelaskan kerajaan tidak akan membubarkan AIM keseluruhannya, sebaliknya hanya akan menutup anak syarikatnya yang ditubuhkan tanpa mengikut undang-undang dan meminta pimpinan pembangkang tidak mengelirukan rakyat kerana AIM akan berfungsi seperti biasa.

Junaidah sebelum ini turut dilaporkan berkata pengurusan baharu AIM tidak akan bertolak-ansur dengan mana-mana pihak jika wujud amalan ketirisan, penyelewengan atau penyalahgunaan dana AIM ketika pentadbiran lalu.

846 dibaca
Berita Harian X