Ahad, 9 Disember 2018 | 11:40am
NAIB Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

Terap pendidikan antirasuah seawal Tahun Lima

KUALA LUMPUR: Kerajaan wajar memperkenalkan pendidikan antirasuah dalam sukatan pelajaran peringkat sekolah rendah menerusi subjek Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral seawal Tahun Lima bagi memastikan sikap bencikan rasuah dapat dapat dipupuk dalam kalangan generasi muda.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata pembelajaran menerusi buku teks yang bermula dari bangku sekolah dapat membantu kanak-kanak membenci dan menolak rasuah dalam semua bentuk.”

“Nilai-nilai moral perlu diterap ketika mereka muda dan apabila masing-masing menamatkan pengajian di sekolah mahupun universiti dan memasuki alam pekerjaan, mereka akan menyedari betapa pentingnya untuk tidak terbabit dalam rasuah.

“Penekanan harus diberikan sama seperti anak-anak diajar untuk membenci rasuah sebagaimana mereka diajar untuk membenci dadah.

“Diharapkan Kementerian Pendidikan akan mempertimbangkan cadangan ini kerana ia dapat membantu menanam budaya kejujuran dan integriti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, gejala rasuah tidak boleh ditoleransi kerana ia bakal memusnahkan negara selain menyusahkan rakyat dan menyumbang kepada kemerosotan ekonomi.

Katanya, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull turut mengakui gejala rasuah ketika ini amat membimbangkan.

“Kita mesti menangani rasuah pada semua peringkat masyarakat termasuk peringkat akar umbi.

“Justeru, kita harus mulakan dengan berpegang kepada prinsip toleransi sifar terhadap rasuah dan berusaha ke arah membentuk budaya anti rasuah dari peringkat awal pendidikan,” katanya.

68 dibaca
Berita Harian X