Ahad, 9 Disember 2018 | 10:31am
ANTARA hadirin yang hadir pada program Sambutan Hari Hak Asasi Manusia anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), di Padang Timur, hari ini. - Foto Sairien Nafis

Ratusan warga tempatan hadiri sambutan Hari Hak Asasi Manusia

PETALING JAYA: Ratusan warga tempatan menghadiri Sambutan Hari Hak Asasi Manusia anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), di Padang Timur, di sini, hari ini.

Acara sambutan itu yang bertemakan ‘Memperjuangkan Hak Asasi Manusia’ atau #StandUp4HumanRights bermula kira-kira jam 10 pagi dan dijangka berakhir pada jam 3 petang.

Selain ucapan pembukaan oleh Pengerusi SUHAKAM, Tan Sri Razali Ismail, majlis itu turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti dan persembahan termasuk tarian sewang oleh Kumpulan Orang Asli Pulau Carey.

Dalam usaha menarik kehadiran pengunjung, penganjur juga menyediakan beberapa gerai pameran mengenai hak asasi manusia.

Kelmarin, Razali mengumumkan sambutan itu yang sepatutnya diadakan semalam, ditangguhkan pada hari ini atas faktor keselamatan.

Beliau berkata walaupun kecewa, pihaknya akur terhadap nasihat yang dikeluarkan oleh pihak polis dan Pejabat Perdana Menteri.

“Saya dimaklumkan oleh Ketua Polis Negara (Tan Sri Mohamad Fuzi Harun) supaya menangguhkan sambutan berkenaan atas faktor risiko keselamatan.

“Namun saya tidak diberi maklumat lanjut berhubung risiko yang akan berlaku. Sebelum ini kami tidak mendapat sebarang ugutan atau ancaman,” katanya.

3397 dibaca
Berita Harian X