Ahad, 9 Disember 2018 | 12:29am
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berucap sempena pelancaran Karnival Pendidikan Kerjaya dan Usahawan Muda Bumiputera (PUTRA) 2018 di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam. - Foto BERNAMA

ICERD tidak diratifikasi kerana cetus jurang antara kaum - PM

SHAH ALAM: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan tidak meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), kerana tidak diberikan hak membezakan layanan di antara kaum, walaupun taraf mereka tidak sama.

Perdana Menteri berkata, dalam konteks negara ini, jika orang Melayu tidak diberi peluang yang lebih berbanding kaum lain, mereka akan terus ketinggalan berbanding kaum lain yang sudah cekap dan berjaya.

“Jika tidak bagi orang Melayu peluang lebih daripada kaum lain, maka yang sudah cekap akan terus berjaya manakala yang tidak cekap akan mundur.

“Sebab itu, kita tolak ratifikasi (ICERD) kerana ia tidak membezakan taraf kaum di Malaysia. Kita tidak akan memindanya,” katanya tadi ketika menjawab soalan dibangkitkan seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) selepas merasmikan Himpunan Mahasiswa Graduan dan Profesional bersempena Karnival Pendidikan Kerjaya dan Usahawan Muda Bumiputera 2018 (PUTRA 2018) di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam di sini, malam tadi.

Hadir sama, isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun; Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Pengerusi PUTRA 2018, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

PUTRA 2018 yang disertai 100 pempamer dari syarikat GLC, swasta dan agensi kerajaan itu menjadi platform belia mendapatkan informasi mengenai kepentingan melanjutkan pelajaran, mendapatkan peluang pekerjaan dan menerokai bidang keusahawanan di peringkat kebangsaan.


PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menandatangani banner kempen PUTRA ketika hadir merasmikan Himpunan Mahasiswa Graduan dan Profesional bersempena Karnival PUTRA 2018 di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam, malam tadi. - NSTP/Roslin Mat Tahir

Karnival yang julung kali diadakan selama sehari itu menyediakan pelbagai tawaran pendidikan, kerjaya dan pendedahan keusahawanan Bumiputera.

Pada majlis itu, Dr Mahathir turut dianugerahkan Tokoh Bumiputera Unggul 2018 atas sumbangannya kepada pembangunan kaum Melayu dan Bumiputera.

Dr Mahathir mahu orang Melayu dan Bumiputera berusaha lebih kuat memajukan diri bagi mengelak terus ketinggalan dengan kaum lain serta miskin di negara ini.

Perdana Menteri melahirkan rasa malu melihat keadaan masyarakat Melayu yang masih ketinggalan di negara sendiri walaupun memiliki kuasa dalam pentadbiran.

“Kaum Melayu kini tertinggal dan kedudukan kita tidak menyenangkan. Jangan kata tidak, kerana itulah hakikat sebenarnya, kita (orang Melayu) tergolong dalam rakyat termiskin.

“Jika terus tinggal di luar bandar, kita tidak akan dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa di bandar. Kita tidak bermusuh dengan kaum lain dan tidak mahu kaum lain sahaja duduk di bandar.

“Andai tiada kuasa politik dan keistimewaan, kita akan jadi lebih susah dari sekarang walaupun ada bantuan disalurkan termasuk biasiswa pendidikan sehingga ke luar negara.

“Bagi menjaga diri dan bangsa Melayu, kita kena usaha lebih dari orang lain. Jika berada di belakang, kita perlu berlari lebih kuat daripada orang lain di hadapan. Kita ini cekap dan pintar,” katanya.

Dr Mahathir berkata, bangsa Melayu turut perlu menanamkan semangat cintakan negara ini yang sentiasa aman dan harmoni sehingga keadaan hari ini.

2695 dibaca
Berita Harian X