Sabtu, 8 Disember 2018 | 6:19pm

ICERD: Ribuan peserta hadiri perhimpunan kesyukuran

KUALA LUMPUR: Ribuan rakyat memenuhi Dataran Merdeka hari ini bagi menghadiri perhimpunan kesyukuran meraikan kejayaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Berlangsung secara aman dengan kawalan ketat pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), himpunan yang bermula selepas solat Zohor itu dihadiri pemimpin utama dua parti, UMNO dan PAS, sekali gus menunjukkan sokongan kedua-dua parti Melayu itu.

Mengenakan pakaian rasmi berwarna putih, himpunan terbesar yang pertama kali diadakan di ibu negara selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 Mei lalu, turut disertai ribuan anggota badan bukan kerajaan (NGO) dan pelajar.


PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berucap ketika perhimpunan kesyukuran menolak ratifikasi ICERD di Dataran Merdeka. - NSTP/Asyraf Hamzah

PERHIMPUNAN kesyukuran menolak ratifikasi ICERD di Dataran Merdeka. - NSTP/Rosdan Wahid

Antaranya, penggerak utama NGO yang juga penganjur himpunan, Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) dan Sekretariat Kedaulatan Rakyat (DAULAT).

Turut serta, anggota NGO yang mewakili Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) serta Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

Tidak melepaskan peluang, personaliti terkenal negara turut hadir berhimpun bagi menyatakan sokongannya menolak ICERD, antaranya, penceramah, Azhar Idrus, pelawak, Abon serta pelakon, Datuk Mustapa Kamal.


AZHAR Idrus turut hadir menyertai perhimpunan kesyukuran ICERD di Dataran Merdeka. - NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

Seawal jam 7 pagi lagi, peserta yang hadir dari segenap negeri mula memenuhi beberapa lokasi utama di ibu negara sebelum berarak menuju ke dataran bersejarah itu bermula jam 1 tengah hari.

Antara lokasi awal berhimpun termasuk di pekarangan pusat membeli belah Sogo di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR), Jalan Tun Perak; Jalan Pudu; pekarangan Masjid Negara; Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) serta Jalan Raja Laut.


PESERTA mengaminkan doa ketika perhimpunan kesyukuran menolak ratifikasi ICERD di Dataran Merdeka. - NSTP/Asyraf Hamzah

Pengucapan umum juga dibuat di lokasi terbabit yang disampaikan oleh beberapa pemimpin penggerak NGO dan pelajar.

Bantuan pihak polis yang menutup beberapa laluan di sekitar Jalan Raja Laut dan Jalan Tun Perak juga melancarkan pergerakan peserta himpunan yang datang dari segala arah laluan utama, untuk menuju ke Dataran Merdeka atau Jalan Raja.

Ribuan peserta yang berarak dari segenap lokasi berhimpun menuju ke Dataran Merdeka juga, melaungkan ungkapan takbir, selawat Nabi dan nyanyian lagu - Inilah Barisan Kita, bagi membangkitkan semangat.

Sebaik peserta memenuhi perkarangan Dataran Merdeka - Jalan Raja Laut, agenda perhimpunan diteruskan dengan aturan ucapan, dimulai wakil NGO, kemudian disusuli pemimpin utama UMNO dan PAS.

Antara yang menyampaikan ucapan umum, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.


PESERTA perhimpunan mengumpulkan sampah selepas tamat perhimpunan di Dataran Merdeka. - NSTP/Asyraf Hamzah

Himpunan berhenti seketika pada jam 4.30 petang dengan perkarangan Dataran Merdeka bergema dengan laungan azan Asar dialunkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Polis juga menutup enam laluan utama di sekitar ibu kota membabitkan Jalan Sultan Hishamuddin, Lebuh Pasar, Jalan Tun Perak, Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR), Jalan Raja Laut serta bulatan Dato Onn.

Keadaan itu sedikit sebanyak menjejaskan pergerakan trafik di sekitar ibu negara termasuk di Jalan Kinabalu, Jalan Ampang, Jalan Tun Razak serta Jalan Mahameru menuju ke ibu kota.

Perkhidmatan pengangkutan awam seperti Transit Aliran Ringan (LRT) juga beroperasi seperti sedia kala, sekali gus membantu pergerakan peserta untuk memasuki ibu negara tanpa perlu memandu kenderaan sendiri.

Bagaimanapun, berlaku kesesakan di kawasan Stesen LRT Masjid Jamek sebaik himpunan tamat, berikutan orang ramai berpusu-pusu menaiki perkhidmatan itu untuk pulang.

Seperti biasa, gerai menjual makanan dan minuman di sekitar jalan Tun Perak serta Jalan Pudu dipenuhi peserta himpunan, selain gerai jualan kecil dan trak makanan juga dibuka di sepanjang jalan sama.

Bagi pengamal media, tiada sekatan keluar masuk dilakukan di semua lokasi perhimpunan, sekali gus memudahkan mereka membuat liputan perjalanan himpunan yang bermula seawal jam 7 pagi.


PESERTA berhimpun di Dataran Merdeka sempena perhimpunan kesyukuran menolak ratifikasi ICERD. - NSTP/Saddam Yusoff

Kronologi Perhimpunan ICERD

9 pagi: Peserta mula berkumpul di hadapan pusat beli-belah Sogo

9.30 pagi: 300 pesilat lengkap berbusana tradisional Melayu berkumpul di Masjid Wilayah Persekutuan

10 pagi: Peserta mula berkumpul di Jalan Lebuh Ampang, Pudu Raya, Pasar Seni dan Masjid India

11 pagi: Lebih 3,000 peserta berkumpul di pusat beli-belah Sogo disusuli ucapan dari wakil pemimpin dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)

11.30 pagi: 1,000 ahli gabungan 313 pertubuhan silat Malaysia menyerahkan memorandum kepada wakil Timbalan Yang Dipertuan Agong di Istana Negara

11.55 pagi: Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dilihat bersiap sedia di Jalan Parlimen

12.30 tengah hari: 10,000 peserta memenuhi kawasan sekitar Masjid Jamek dan Jalan Tun Perak

12.45 tengah hari: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tiba di Masjid Negara

12.50 tengah hari: Polis menganggarkan 5,000 peserta berkumpul di Masjid Negara

1.10 tengah hari: Penganjur mengarahkan peserta berarak masuk ke Jalan Raja, lokasi utama perhimpunan

1.45 tengah hari: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menunaikan solat Zohor dan sunat hajat di Surau Ar Rahman di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebelum bergerak ke Masjid Jamek menaiki LRT

1.50 tengah hari: Lebih 15,000 peserta yang berkumpul di hadapan Pusat beli belah Sogo berarak ke Jalan Raja yang turut disertai Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan

2.20 petang: Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa antara pemimpin kanan parti itu yang baru tiba di Jalan Raja.

2.30 petang: Polis menganggarkan jumlah peserta mencecah 50,000 orang. Dua buah helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM) kelihatan berlegar di ruang udara melakukan pemantauan

2.40 petang: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tiba di Jalan Raja dengan membonceng sebuah motosikal, beliau disambut peserta dengan takbir.

3.05 petang: Peserta masih berarak masuk ke Jalan Raja dan berlaku sedikit kekecohan kerana ada peserta yang dilihat sudah meninggalkan lokasi

Kemuncak perhimpunan menampilkan ucapan dari dua orang pemimpin Ahmad Zahid dan Adbul Hadi Ahmad Zahid dalam ucapannya mendakwa 500,000 orang Melayu turun pada perhimpunan itu

4 petang: Cuaca mendung

4.50 petang: Sebahagian peserta mula bersurai kerana hujan renyai

4.55 petang: Polis menganggarkan jumlah keseluruhan peserta mencecah 55,000 orang

5 petang: Peserta mula bersurai secara aman

3322 dibaca
SEBAHAGIAN peserta yang menyertai perhimpunan kesyukuran menolak ratifikasi ICERD. - NSTP/Aswadi Alias
Berita Harian X