Sabtu, 8 Disember 2018 | 3:46pm
FUZIAH (duduk tiga dari kanan) bersama ahli persatuan yang membantah operasi LYNAS pada sidang media khas di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu. - Foto Farizul Hafiz Awang

Tapak pelupusan kekal Lynas mesti dipersetujui penduduk - Fuziah

KUANTAN: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata Lynas Corporation Ltd (LYNAS) boleh membina tapak pelupusan kekal (PDF) dengan syarat ia mendapat persetujuan orang awam, terutamanya penduduk Kuantan.

Beliau berkata, keputusan LYNAS menawarkan penyediaan PDF itu dilihat hanya sebagai alasan pihak pengurusan syarikat memproses nadir bumi berkenaan melengah-lengahkan tindakan tegas kerajaan terhadapnya.

“Kalau nak kira, dahulu lagi kerajaan sudah arahkan mereka bina PDF, tapi mereka (LYNAS) beri alasan untuk melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) terhadap sisa nadir bumi yang sudah diproses.

“Laporan dikeluarkan Jawatankuasa Khas Bagi Mengkaji Operasi LYNAS sudah jelas bahawa sisa nadir bumi itu tidak sesuai digunakan sebagai baja untuk pertanian kerana mengandungi bahan radioaktif yang sangat berisiko tinggi.

“Kenapa sekarang mereka timbulkan balik perkara ini (pembinaan PDF)? Bagi saya, ini semua taktik mereka sahaja, kalau boleh nak buat PDF, saya alu-alukan, tapi pastikan ia mendapat persetujuan semua penduduk dan mengadakan sesi pendengaran awam terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Lee Chean Chung dan Pengerusi Save Malaysia Stop LYNAS, Tan Bun Teet.

Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan turut meminta LYNAS meneruskan hasrat mereka mengambil tindakan mahkamah terhadap kerajaan berikutan pengumuman Menteri Tenaga, Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin yang meminta pihak syarikat memproses nadir bumi itu mengikuti saranan dikemukakan Jawatankuasa Khas Bagi Mengkaji Operasi LYNAS, termasuk menghantar semula sisa radioaktif ke Australia.

“Kalau betul mereka (LYNAS) nak saman (kerajaan), silakan... Menteri (Bee Yin) pun sudah menyatakan kesediaaan untuk menghadapi saman dari LYNAS dan beliau juga sudah bertemu dengan Peguam Negara (Tommy Thomas) bagi membincangkan perkara ini,” katanya.

Berita Harian X