Sabtu, 8 Disember 2018 | 12:41pm
KETUA Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Risiko keselamatan faktor sambutan Hari Hak Asasi ditangguh - KPN

KUALA LUMPUR: Penangguhan sambutan Hari Hak Asasi Manusia Antarabangsa 2018 yang dijadualkan berlangsung hari ini dilakukan kerana ada risiko terhadap keselamatan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan orang awam.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata polis sudah menasihatkan penganjur untuk menangguhkan sambutan berkenaan berikutan perhimpunan kesyukuran terhadap penolakan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), berlangsung pada hari yang sama.

“Ia dibatalkan kerana ada kaitan dengan perhimpunan ICERD pada petang ini, ada juga isu keselamatan yang dikhuatiri jika diadakan serentak akan menimbulkan masalah keselamatan.

“Maka, polis bagi nasihat kepada penganjur untuk menangguhkannya, dan diadakan semula esok (Ahad) di padang Timur Petaling Jaya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Berkhatan Perdana Polis Diraja Malaysia 2018, di Masjid Bukit Aman, di sini, hari ini.

Mohamad Fuzi berkata, bentuk ancaman yang dijangka berlaku tidak boleh didedahkan, namun polis memandang serius isu keselamatan negara termasuk orang awam.

“Perdana Menteri juga dijadualkan hadir pada sambutan di padang berkenaan dan kami sebagai pasukan keselamatan amat bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan beliau serta rakyat Malaysia.

“Sekiranya apa-apa terjadi pada sambutan itu, kami juga yang akan dipersalahkan kemudian,” katanya.

Semalam, sambutan Hari Hak Asasi Manusia anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (SUHAKAM) untuk memperingati Hari Hak Asasi Manusia Antarabangsa 2018 yang pada mulanya akan diadakan hari ini dijadualkan semula kepada esok.

Pengerusi SUHAKAM, Tan Sri Razali Ismail memaklumkan bahawa lokasi dan masa acara itu tetap sama iaitu di Padang Timur, Petaling Jaya, dari 9 pagi hingga 3 petang dan berkata penangguhan sambutan esok dibuat atas nasihat daripada pihak berkuasa.

387 dibaca
Berita Harian X