Sabtu, 8 Disember 2018 | 12:32pm
Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Radzi Jidin, menyuapkan pulut kuning kepada kanak-kanak berumur dari 6 hingga 11 tahun yang menyertai program berkhatan yang dianjurkan oleh sebuah NGO, di Sekolah Kebangsaan (SK) Ketereh. - Foto Fathil Asri

Masyarakat jangan keliru isu AIM

KOTA BHARU: Kerajaan tidak akan membubarkan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sebaliknya hanya akan menutup anak syarikat di bawah penubuhannya yang tidak mengikut undang-undang.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Radzi Jidin, berkata perkara ini perlu diselesaikan dengan segera kerana institusi ini (AIM) adalah entiti dan mengikut akta tidak ada anak syarikat di bawahnya.

“Isu sekarang ini adalah anak syarikat yang ditubuhkan tanpa ikut undang-undang dan penubuhan itu bertentangan dengan akta berkaitan penubuhan AIM.

“Masyarakat perlu faham, kita bukannya hendak bubar AIM. Kini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri sedang melihat bagaimana untuk menyelesaikan penubuhan anak syarikat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Khatam Beramai-ramai anjuran Pertubuhan Kebajikan Insaniah Ketereh di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Ketereh di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Radzi berkata, kenyataan yang dikeluarkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, tidak sepatutnya meletakkan kesilapan pada kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk membubarkan anak syarikat AIM.

“Pemimpin Barisan Nasional (BN) diminta tidak mengelirukan rakyat berhubung isu itu kerana AIM masih berfungsi seperti biasa,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan kerajaan kini menyediakan dokumen yang diperlukan sebelum memulakan prosedur pembatalan sijil AIM.

Tindakan itu adalah berdasarkan Seksyen 17 (2) Akta Pemegang Amanah 1992 kerana badan berkenaan tidak memenuhi syarat Suratcara Ikatan Amanah terutama dalam penubuhan anak syarikat.

1673 dibaca
Berita Harian X