Sabtu, 8 Disember 2018 | 11:54am
ANGGOTA polis trafik mengawal keadaan lalu lintas berikutan peserta perhimpunan aman kesyukuran meraikan kejayaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) mula berhimpun di hadapan pusat membeli belah di Jalan Tengku Abdul Rahman. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Polis akan kawal, pantau hingga pagi esok - Ketua Polis Negara

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memantau perhimpunan kesyukuran terhadap penolakan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), sehingga pagi esok.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menasihatkan peserta perhimpunan supaya tidak mencetuskan sebarang provokasi ketika perhimpunan petang ini.

“Kita akan mengawal dan memantau sehingga pagi esok bagi memastikan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

“Pihak polis mempunyai pegawai dan anggota yang mencukupi untuk mengawal keadaan sekiranya timbul sesuatu perkara yang menggugatkan ketenteraman negara,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Berkhatan Perdana Polis Diraja Malaysia 2018 di Masjid Bukit Aman, di sini, hari ini.

Mohamad Fuzi berkata, pemantauan yang dibuat pihak polis sejak semalam mendapati, jumlah peserta ICERD sudah mencecah 5,000 sejak pagi tadi dan jumlah itu dijangka meningkat pada sebelah petang.

DBKL sebelum ini meluluskan perhimpunan berkenaan dengan syarat penganjur dibenarkan berhimpun di Jalan Raja di antara Dataran Merdeka dan Bangunan Sultan Abdul Samad bermula jam 2 hingga 6 petang.

Susulan itu, Dataran Merdeka dan Jalan Raja selain beberapa jalan berhampiran lokasi itu akan ditutup bermula Jumaat.

Permohonan mengadakan perhimpunan itu dibuat tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) dan Persatuan Bekas Anggota Tentera Tidak Berpencen (Daulat).

Berita Harian X