Jumaat, 7 Disember 2018 | 8:59pm

Pastikan tiada kekacauan - PM

PUTRAJAYA: Kerajaan meminta penganjur perhimpunan ‘kesyukuran’ meraikan kejayaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di Jalan Raja, Kuala Lumpur, esok supaya memastikan tidak berlaku kekacauan atau kerosakan ke atas harta benda awam.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, turut meminta supaya peserta perhimpunan tidak membuang sampah di merata-rata tempat dan menjaga kebersihan.

“Bagi pihak kerajaan, jika perhimpunan itu diadakan atas dasar kesyukuran, kita mengucapkan terima kasih kerana sokongan yang ditunjukkan.

“Pihak kerajaan tidak berhasrat menghalang atau menyukarkan penganjur perhimpunan kerana ini bertentangan dengan dasar kerajaan yang mendokong prinsip demokrasi.

“Cuma satu sahaja permintaan kerajaan iaitu penganjur perlu membantu pihak polis dan pihak berkuasa yang lain dalam memastikan tidak berlaku kekacauan atau kerosakan ke atas harta benda awam,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam pesanan ringkas yang disampaikan dalam laman YouTube hari ini.

Lebih 500,000 orang dijangka menghadiri perhimpunan ‘kesyukuran’ meraikan kejayaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di Jalan Raja esok.


TUN Dr Mahathir turut meminta supaya peserta perhimpunan tidak membuang sampah di merata-rata tempat dan menjaga kebersihan.

Perdana Menteri berkata, walaupun Kabinet memutuskan Malaysia tidak akan meratifikasi ICERD pada 23 November lalu, tetapi perhimpunan itu tetap diteruskan esok.

“Saya tidak nampak perlunya perhimpunan itu diteruskan. Bagaimanapun, beberapa pihak menyatakan ia perlu diteruskan sebagai tanda kesyukuran di atas keputusan kerajaan tidak meratifikasi ICERD,” katanya.

1358 dibaca
Berita Harian X