Jumaat, 7 Disember 2018 | 3:42pm
GAMBAR fail, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. - Foto Zunnur Al Shafiq

AIM tidak wajar dibubarkan - Asyraf

KOTA BHARU: Tidak wajar kerajaan membubarkan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang terbukti berjaya mengeluarkan ratusan ribu rakyat daripada dibelenggu kemiskinan sejak ditubuhkan pada 1987, kata Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata, AIM adalah model Grameen Bank Bangladesh yang menggunakan konsep pembiayaan mikro (microfinancing) yang pernah dianugerahkan Nobel Laureate kerana berjaya membantu pembiayaan golongan miskin sehingga hampir 90 peratus mereka keluar daripada belenggu kemiskinan.

Katanya, model AIM juga berjaya kerana bukan sekadar membantu golongan usahawan miskin di kalangan Sahabat AIM dengan memberi ‘ikan’, sebaliknya turut menyedia dan mengajar anggota menggunakan ‘joran’ untuk menangkap ‘ikan’.

“Persoalannya kenapa selepas 30 tahun, baru sekarang hendak dipersoalkan isu perlanggaran Akta (Pemegang Amanah 1992)? Takkanlah semua inisiatif Kerajaan Barisan Nasional (BN)terdahulu nak dihentikan walau ternyata banyak memberi manfaat pada rakyat?

“Sekalipun wujud isu pentadbiran yang membabitkan perlanggaran Akta Pemegang Amanah, maka sewajarnya kerajaan perbetulkannya, bukannya membubarkan institusi yang terbukti berdaya maju dengan kadar bayar balik pembiayaan 98.26 peratus.

“Bahkan (AIM) mengeluarkan ratusan ribu rakyat daripada belenggu kemiskinan sejak 30 tahun beroperasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Asyraf yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata jangan pula wujud persepsi seolah-olah kerajaan dan Kementerian Kewangan yang hari ini didominasi DAP sedang merobek satu persatu institusi yang terbukti banyak membantu Melayu dan Bumiputera keluar daripada belenggu kemiskinan, selain berjaya menaikkan taraf ekonomi.

NSTP hari ini melaporkan kerajaan kini menyediakan dokumen yang diperlukan sebelum memulakan prosedur pembatalan sijil AIM.

Tindakan itu adalah berdasarkan Seksyen 17 (2) Akta Pemegang Amanah 1992 kerana badan berkenaan tidak memenuhi syarat Suratcara Ikatan Amanah terutama dalam penubuhan anak syarikat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin, berkata AIM sepatutnya membantu isi rumah termiskin, namun berlaku pelanggaran undang-undang oleh pentadbiran terdahulu.

2094 dibaca
Berita Harian X