Jumaat, 7 Disember 2018 | 3:31pm
Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian (dua dari kiri) menyampaikan barangan keperluan sekolah kepada sebahagian penerima bantuan Kembali Ke Sekolah ketika majlis Kembali Ke Sekolah & Penyerahan Berkemlompok Projek Baiti Jannati Negeri Johor, di Dewan Cahaya Tenaga Nasional Berhad,Kempas. - Foto Mohd Azren Jamaludin

MB Johor jawab semua isu dalam sidang DUN Ahad ini

JOHOR BAHRU: “Saya akan menjawab semua persoalan berkaitan status Pulau Kukup dan isu lain (ruang udara dan perairan dengan Singapura) pada sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Ahad ini,” kata Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Program Kembali Ke Sekolah dan Penyerahan Berkelompok Program Baiti Jannati Negeri Johor 2018 di Dewan Cahaya Perumahan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kempas di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas berkata, akan menjawab semua persoalan yang ditimbulkan wakil rakyat dalam perbahasan penggulungan.

“Kita tunggu sesi penggulungan Ahad ini. Segala jawapan serta persoalan ditimbulkan wakil rakyat akan saya jawab dalam perbahasan.

“Kalau perkara lain tiada kerana semuanya under control (terkawal),” jawab Osman mengenai status Pulau Kukup yang ditukar menjadi tanah kesultanan.

Difahamkan, Menteri Besar dan kerajaan negeri kini mengumpul bukti berkaitan beberapa kejadian pencerobohan perairan membabitkan kapal negara jiran selain pencerobohan udara.

Selain itu, Menteri Besar dikatakan sudah meminta Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor untuk mendapatkan tafsiran tepat ‘Sultanate Land’ membabitkan isu Pulau Kukup yang hangat diperkatakan ketika ini.

Perkara ini mula mendapat perhatian apabila satu salinan Warta Kerajaan Johor berhubung pembatalan perizaban Pulau Kukup sebagai Taman Negara mula tersebar, Selasa lalu.

Warta Kerajaan Johor bertarikh 24 September itu memaparkan pembatalan keseluruhan kawasan yang diisytiharkan sebagai kawasan Taman Negara Pulau Kukup berdasarkan kuasa diberi mengikut Subseksyen 3(3) Enakmen Perbadanan Taman Negara (Johor) 1989.

Pada sidang DUN semalam, kerajaan Pakatan Harapan (PH) membawa usul tergempar untuk Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Johor mengkaji semula status Taman Negara Pulau Kukup.

Usul berkenaan diluluskan Speaker DUN, Suhaizan Kaiat selepas dibahaskan dan mendapat sokongan majoriti ADUN.

Berita Harian X