Khamis, 6 Disember 2018 | 11:01pm
TIMBALAN Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya (dua dari kiri); Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (kanan); Kuasa Usaha Sementara Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London Mohd Suhaimi Jaafar (kiri); Pengerusi World Muslim Leadership Forum (WMLF), Datuk Seri Mohamed Iqbal Rawther (dua dari kanan) dan Presiden Institut Strategi Antarabangsa, Tan Sri Michael Yeoh (tiga dari kiri) ketika tiba pada Forum Kepimpinan Muslim Dunia (WMLF) 2018 hari ini. Forum dwi tahunan selama dua hari itu menghimpunkan pemimpin dasar, ahli parlimen, pakar dan sarjana, komuniti antara agama, aktivis, pengamal pembangunan dan para pemimpin korporat. - Foto BERNAMA

Malaysia komited teraju industri halal global - Saifuddin Nasution

KUALA LUMPUR: Malaysia meletakkan sasaran untuk menjadi peneraju dalam industri halal di peringkat global, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, untuk industri pelancongan, contohnya pada tahun lalu, Malaysia berjaya menarik 5.3 juta pelancong Islam daripada keseluruhan 26 juta pelancong yang melawat negara ini.

Katanya, Malaysia turut menjadi pilihan utama pelancong dari Asia Barat kerana kemudahan mesra pelancong Muslim yang disediakan kerajaan selain keenakan kepelbagaian makanan halal yang ada di negara ini.

"Dalam industri halal lain seperti perbankan, fesyen dan gaya hidup serta bidang persijilan halal pun Malaysia juga tidak terkecuali.

"Terdapat peningkatan permintaan kepada fesyen Muslim dengan selebriti negara terkenal seperti Vivy Yusof dan Neelofa turut menjadi peneraju dalam mempromosi koleksi jenama masing-masing di pasaran tempatan serta antarabangsa," katanya ketika berucap pada Forum Kepemimpinan Muslim Sedunia di Lambeth House, London, hari ini.

Saifuddin berkata, ekonomi halal dijangka mencecah AS$6.4 trilion (kira-kira RM26.67 trilion) pada tahun ini seiring pertambahan populasi masyarakat Islam dunia iaitu daripada 1.8 bilion kepada 2.2 bilion penduduk menjelang 2030, sekali gus memberi peluang besar kepada industri terbabit.

Beliau berkata, berdasarkan Laporan Ekonomi Islam Global 2016/2017 (GIER), industri makanan halal adalah segmen utama ekonomi halal dengan anggaran AS$1.17 bilion (RM4.87 bilion) dibelanjakan untuk produk makanan serta minum pada 2015, manakala pendapatan untuk produk makanan mahupun minuman yang disahkan halal dianggarkan sebanyak AS$425 bilion (RM1,227 bilion)

Justeru katanya, masyarakat Islam di seluruh dunia perlu meneroka dengan lebih meluas industri halal kerana ia tidak terhad kepada makanan semata-mata, sebaliknya merangkumi pelbagai produk dan perkhidmatan berkaitan termasuk bidang media, pelancongan, gaya hidup, fesyen, perubatan, kewangan serta sebagainya.

"Masyarakat Islam dijangka akan berbelanja AS$262 bilion (kira-kira RM1,091.70 bilion) untuk produk media menjelang tahun 2021, manakala dalam industri gaya hidup dan fesyen pula, GIER turut melaporkan terdapat peningkatan dalam jenama pakaian antarabangsa yang memasuki pasaran masyarakat Islam dengan jumlah keseluruhan yang dibelanjakan pengguna Islam adalah sebanyak RM1,012 bilion pada tahun 2015, bersamaan 11 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan pasaran global.

"Selain itu, GIER turut menjangkakan jumlah pelancong Muslim turut meningkat dan perbelanjaan mereka di luar negara mencapai AS$243 bilion (kira-kira RM1,012 bilion) menjelang tahun 2021 dan ketika industri pelancongan halal masih lagi dianggap sebagai pasaran khusus, ia sebenarnya menawarkan peluang luas kepada usahawan untuk menyediakan lawatan Muslim, aplikasi halal dan pelbagai panduan dalam talian yang lain," katanya.

Dalam forum yang sama, Saifuddin berkata, industri farmaseutikal turut mengalami permintaan ketara untuk produk halal dan GIER melaporkan pada 2015, perbelanjaan untuk produk farmaseutikal halal mencecah AS$78 bilion (kira-kira RM325 bilion) manakala kosmetik halal, AS$56 bilion (RM233 bilion)

Katanya, dengan inovasi dalam sektor berkenaan khususnya dalam produk penjagaan kulit, wangian dan produk berasaskan nutrien, GIER menganggarkan perbelanjaan masyarakat Islam terhadap produk farmaseutikal akan mencecah AS$132 bilion (RM550 bilion) menjelang tahun 2021.

"Semua statistik itu menunjukkan bahawa ekonomi dan perdagangan produk halal terjalin dengan ketara antara negara Islam dan bukan Islam, selain itu angka berkenaan turut menggambarkan bahawa daya tarikan ekonomi halal kini semakin meningkat di seluruh dunia.

"Tidak boleh dinafikan bahawa peluang dalam ekonomi halal sangat besar untuk negara Islam dan terdapat keperluan mendesak untuk meneroka secara lebih meluas bidang ekonomi halal bagi menggunakan peluang yang ada untuk menyumbang kepada ekonomi global," katanya.

238 dibaca
Berita Harian X