Khamis, 6 Disember 2018 | 6:52pm
MAZLAN Lazim. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

Himpunan ICERD: 6 laluan utama ditutup

KUALA LUMPUR: Enam laluan utama di ibu kota akan ditutup sempena perhimpunan kesyukuran terhadap keputusan kerajaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), Sabtu ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata enam laluan yang ditutup ialah Jalan Hishamuddin, Jalan Leboh Pasar, Jalan Tun Perak, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Raja Laut dan Bulatan Dato’ Onn.

“Laluan berkenaan akan mula ditutup pada jam 6 pagi Sabtu ini. Peserta perhimpunan dibenarkan berkumpul di Jalan Raja iaitu berhadapan Bangunan Sultan Abdul Samad sehingga Jalan Tunku Abdul Rahman (persimpangan Sogo).

“Peserta juga dinasihatkan untuk meletakkan kenderaan di luar kawasan tempat berkumpul bagi mengelakkan kesesakan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Mazlan berkata, selain kawasan berkenaan, pihaknya turut mengawal laluan dari Masjid Wilayah Persekutuan ke Pintu Tiga Istana Negara bagi penyerahan memorandum.

“Penyerahan memorandum berkenaan akan dilakukan oleh Persatuan Pesilat dan mereka akan berkumpul di Masjid Wilayah Persekutuan pada jam 10 pagi hingga 12 tengah hari.

“Polis menjangkakan seramai 300 orang akan berkumpul untuk menyerahkan memorandum berkenaan,” katanya.

Menurutnya, peserta perhimpunan dinasihatkan supaya menggunakan pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

“Selain itu, mereka juga dinasihatkan untuk tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan. Tindakan tunda dan saman akan dikenakan kepada kenderaan yang melanggar peraturan.

“Peserta juga diharap tidak mencetuskan provokasi dan berhimpun secara aman, tidak membawa sebarang senjata berbahaya serta perlu mematuhi arahan pegawai polis yang bertugas,” katanya.

Katanya, polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang cuba menimbulkan provokasi, mencetuskan kekecohan, mengganggu-gugat ketenteraman awam dan melanggar undang-undang.

“Orang ramai juga diminta untuk memberikan kerjasama dengan tidak menularkan sebarang spekulasi atau khabar angin yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

“Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di talian 03-26002222 atau IPD Brickfields di talian 03-22979268,” katanya.

2606 dibaca
Berita Harian X