Khamis, 6 Disember 2018 | 4:48pm
ASYRAF Wajdi Dusuki

5,000 Pemuda UMNO, PAS  jaga keharmonian himpunan ICERD

KUALA LUMPUR: Kira-kira 5,000 ahli Pemuda UMNO dan Jabatan Amal PAS akan turun padang bergandingan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjaga keamanan serta memastikan kelancaran program Himpunan Ummah di Dataran Merdeka, Sabtu ini.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata peserta perhimpunan diharapkan tidak mencetuskan sebarang unsur perkauman mahupun menyentuh sensitiviti mana-mana agama, sebaliknya dapat berhimpun dengan aman serta harmoni.

Beliau berkata, pihaknya juga akan memastikan sebarang bentuk provokasi sama ada melalui perbuatan, poster, ‘placard’, laungan, sorakan yang menyentuh isu perkauman dan agama dilakukan mana-mana individu akan segera diserahkan kepada pihak berkuasa.

“Pemuda UMNO juga mengharapkan kerjasama semua pihak supaya mengambil gambar individu yang tidak bertanggungjawab dan diserahkan kepada pihak keselamatan, selain sentiasa menjaga disiplin termasuk kebersihan dengan membawa plastik hitam untuk membersihkan sampah sarap yang didapati sepanjang berarak atau berhimpun di Dataran Merdeka nanti.

“Sekali lagi ingin ditegaskan bahawa Himpunan Ummah 8 Disember ini adalah solidariti rakyat, bukan sahaja menolak ratifikasi ICERD (Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum) tetapi membantah apa juga bentuk usaha untuk meruntuhkan keharmonian pelbagai agama dan kaum.

“Ini kerana kita adalah rakyat Malaysia yang cintakan keamanan yang dibina berpaksikan Perlembagaan Persekutuan serta mengikut acuan kita sendiri,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Asyraf Wajdi, peserta yang akan hadir pada Sabtu ini juga diminta bersolidariti dengan berpakaian putih selama sehari selain mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda kecintaan kepada keamanan, keharmonian pelbagai agama dan kaum.

186 dibaca
Berita Harian X