Rabu, 5 Disember 2018 | 2:10pm
KAMARUZAMAN Mohamad (tengah) bersama wakil NGO ketika sidang media berhubung perhimpunan bantah ICERD 8 Disember di Kuala Lumpur di Wisma Majlis Perundangan Melayu (MPM). - NSTP/Owee Ah Chun

Najib turun himpunan ICERD - UMMAH

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan turut serta dalam perhimpunan kesyukuran terhadap keputusan kerajaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), Sabtu ini.

Perkara itu dimaklumkan pengarah himpunan yang juga Timbalan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Kamaruzaman Mohamad dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, beliau dimaklumkan Najib mengesahkan akan turut serta dalam perhimpunan itu dan percaya bekas Perdana Menteri itu mempunyai pengikutnya sendiri selaku bekas pemimpin negara dan Ahli Parlimen Pekan.

“Bukan setakat Datuk Seri Najib, kita juga mengalu-alukan pemimpin lain termasuklah pemimpin dalam kerajaan termasuklah Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamed sendiri untuk turun, sama-sama bersolidariti pada perhimpunan itu kelak.

“Ini termasuklah mereka yang sebelum ini bertegas membantah cadangan ratifikasi ICERD termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” kata beliau.

Kamaruzaman berkata, pihaknya masih menjalankan beberapa siri perbincangan dengan pihak berkuasa termasuk polis untuk memastikan perhimpunan yang dijadual bermula jam 2 petang di Jalan Raja di sini, berlangsung secara aman dan selamat.

“Perhimpunan juga akan dikawal kira-kira 12,000 tenaga daripada Unit Amal (Jabatan Amal PAS) untuk memastikan himpunan berjalan lancar tanpa sebarang provokasi.

“Kita ingin tegaskan sekali lagi, perhimpunan ini bukan sekadar berkaitan ICERD tetapi sebagai penyatuan Melayu dan Islam justeru kita mahu hindarkan sebarang bentuk provokasi berkaitan agama dan kaum.

“Perhimpunan ini bukan berasakan bangsa tetapi lebih kepada ‘signal’ bantahan terhadap segelintir pemimpin dalam kerajaan yang cuba mengubah Perlembagaan Persekutuan yang memberi hak keistimewaan kepada Melayu, Bumiputera dan agama Islam,” katanya.

Menurutnya, mereka yang cuba ‘mengusik’ Perlembagaan bertindak seolah-olah tidak cintakan keamanan dan hubungan baik antara kaum yang terjalin selama ini.

“Mereka tahu sekiranya Perlembagaan negara diusik, ia akan menimbulkan rasa tidak senang orang Melayu dan Islam dan kesannya amat besar.

“Kita bimbang perkara ini boleh mendorong kepada berlakunya ketegangan yang lebih serius,” katanya.

Beliau berkata, pada Sabtu ini, peserta akan berhimpun terlebih dahulu di tiga ‘check point’ iaitu Masjid Jamek, Masjid Negara dan Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) berhampiran pusat beli-belah Sogo sebelum berarak ke Jalan Raja berhampiran Dataran Merdeka.

“Peserta akan bersolat Zuhur dahulu sebelum melakukan solat hajat dan kemudian berarak dan berkumpul di Jalan Raja.

“Kita merancang beberapa pengisian sepanjang perhimpunan termasuk ucapan daripada pemimpin masyarakat, badan bukan kerajaan (NGO) dan wakil parti politik yang hadir,” katanya.

Berita Harian X