Selasa, 4 Disember 2018 | 12:29pm
Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar. - NSTP/Farizul Hafiz Awang

PAS Pahang yakin himpunan bantah ICERD berjalan lancar tanpa provokasi

KUANTAN: Keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membenarkan himpunan bantah ratifikasi Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) hujung minggu ini perlu dihormati semua pihak.

Pengumuman mengenai kelulusan untuk meneruskan himpunan itu juga adalah bukti jelas pihak DBKL dan PDRM yakin bahawa ia akan berjalan dengan aman tanpa sebarang kekecohan.

Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar, berkata semua peserta himpunan itu perlu mengikuti peraturan dan garis panduan ditetapkan pihak berkuasa bagi memastikan tidak ada pihak mengambil kesempatan dengan melakukan sebarang provokasi.

“Kami (PAS Pahang) sangat berterima kasih kepada DBKL dan PDRM kerana meluluskan himpunan ini untuk diteruskan... himpunan ini bukan hanya untuk menyatakan pendirian rakyat Malaysia dalam isu ICERD, tapi ia juga adalah lambang kesatuan rakyat berbilang kaum dan fahaman agama yang menolak sebarang cubaan pihak luar mencampuri urusan dalaman negara ini.

“Pimpinan dan ahli PAS Pahang juga akan turut serta dalam himpunan ini, termasuk ribuan lagi rakyat (yang tidak menyokong mana-mana parti) dan saya dimaklumkan, bukan sahaja orang Islam atau Bumiputera sahaja akan turun beramai-ramai hujung minggu ini, tapi rakan kita yang bukan beragama Islam juga akan bersama dalam himpunan kali ini,” katanya yang juga ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Lumpur, ketika dihubungi NSTP, di sini, hari ini.

Semalam, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan mengumumkan pihaknya membenarkan himpunan bantah ratifikasi ICERD selepas mesyuarat bersama agensi kerajaan dan PDRM.

Beliau berkata, kebenaran itu diberi kerana yakin ia diadakan secara aman, memandangkan perhimpunan itu adalah tanda kesyukuran dengan keputusan kerajaan menolak ratifikasi ICERD.

Sementara itu, ADUN Beserah yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Andansura Rabu berkata, kira-kira 20,000 pimpinan dan ahli PAS dari Pahang akan turun ke ibu negara bagi menyertai himpunan berkenaan.

“Saya sudah maklumkan kepada semua pimpinan dan ahli... mereka sudah menyatakan persetujuan untuk bersama-sama dalam himpunan berkenaan... saya jangka sekurang-kurangnya 20,000 dari Pahang akan bersama kita hujung minggu ini.

“Himpunan ini adalah bagi menyatakan pendirian kita sebagai rakyat sebuah negara berdaulat, tidak akan menerima sebarang usaha mana-mana pihak, apatah lagi pihak luar, mencampuri urusan negara... tambahan pula, ICERD ini secara jelas cuba mengganggu keharmonian dan mencabar Perlembagaan Persekutuan yang kita pegang selama ini,” katanya.

Berita Harian X