Selasa, 4 Disember 2018 | 12:13pm
MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke. - NSTP/Saddam Yusoff

Malaysia bantah Singapura siar ILS tanpa izin - Menteri Pengangkutan

KUALA LUMPUR: Kementerian Luar akan menghantar nota bantahan kepada kerajaan Singapura susulan penyiaran tatacara Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) Lapangan Terbang Seletar tanpa kebenaran pada 1 Disember lalu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata Singapura bagaimanapun tetap menyiarkan tatacara berkenaan yang akan berkuat kuasa sepenuhnya pada 3 Januari depan.

Katanya, ketetapan kerajaan itu sudah dimaklumkan kepada Singapura pada 28 dan 29 November lalu bagi menjamin kedaulatan ruang udara negara, sekali gus memastikan pembangunan sekitar Pasir Gudang tidak tergugat.

“Bagaimanapun, bagi membolehkan pesawat menggunakan tatacara ILS baharu untuk lapangan terbang berkenaan, butiran terperinci berkaitan laluan masuk perlu disiarkan secara rasmi dalam Aeronautical Information Publication (AIP) Singapura, selaras piawaian Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

“Penyiaran berkenaan bertentangan dengan prinsip hak kedaulatan negara dan nota bantahan akan dikeluarkan serta-merta bagi menjaga pengurusan ruang udara Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH PKR-Pasir Gudang) pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Hassan bertanya mengenai pembangunan di Pasir Gudang yang dijangka tergugat susulan hasrat Singapura merancakkan operasi penerbangan komersial di Lapangan Terbang Seletar yang terletak hanya dua kilometer (km) dari sempadan negara.

Pada 24 November lalu, media melaporkan Firely tidak mendapat kelulusan daripada Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk beroperasi di Lapangan Terbang Seletar.

Loke berkata, kerajaan akan melaksanakan pengambilan balik ruang udara di selatan Johor secara berperingkat mulai penghujung 2019 dan 2023.

“Kita akan ambil secara berperingkat bagi menyelaraskan tatacara perkhidmatan kawalan trafik udara antara pihak penyedia perkhidmatan pengemudian udara di kedua-dua negara demi menjamin pergerakan pesawat yang selamat, cekap dan teratur.

“Kita akan berbincang dengan Singapura dengan lebih terperinci berhubung isu ini dan merujuk kepada ICAO jika perlu,” katanya.

2613 dibaca
Berita Harian X