Isnin, 3 Disember 2018 | 1:27pm
PENASIHAT Khas Media dan Komunikasi Kepada Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin. - Foto Zulfadhli Zulkifli

PM lebih kenal Maszlee, Waytha Moorthy

KOTA KINABALU: Tun Dr Mahathir Mohamad berpuas hati dengan prestasi Dr Maszlee Malik dan P Waytha Moorthy tentunya kerana Perdana Menteri lebih mengenali dan rapat dengan dua menteri berkenaan.

Penasihat Khas Media dan Komunikasi Kepada Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin, berkata Dr Mahathir adalah Perdana Menteri dan lebih tahu dengan menterinya.

“Dr Mahathir adalah orang yang lebih tahu barisan menterinya, jika beliau mengatakan berpuas hati, kita terimalah. Kita tidak duduk dalam sidang Kabinet, kita tidak duduk dalam setiap sesi menteri itu, yang Perdana Menteri katakan itu adalah penilaian beliau sebagai ketua kepada mereka,” katanya ketika mengulas berhubung kritikannya terhadap dua menteri itu baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan dan menyampaikan Ucaptama Dialog Isu & Cabaran Komunikasi Strategik Dalam Era Malaysia Baharu di Dewan Resital, Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Dekan Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, UMS, Prof Dr Ismail Ibrahim yang mewakili Naib Cancelor, Prof Datuk Dr D Kamarudin D Mudin dan Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA), Mugutan Vanar.

Mengulas lanjut mengenai kritikannya tu, Kadir berkata sebagai wartawan ia adalah sekadar penilaian atau analisis berdasarkan apa yang diketahui.

Kadir dalam blognya The Scribe, membuat teguran berbaur sindiran ditujukan kepada Maszlee yang juga Menteri Pendidikan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Waytha Moorthy, yang masing-masing terpalit dengan pelbagai kecaman dalam kalangan masyarakat, kebelakangan ini.

Namun, Perdana Menteri menyatakan beliau berpuas hati terhadap prestasi kedua-dua menterinya itu.

Mengulas mengenai pandangannya terhadap beberapa media cetak yang kini tidak lagi mampu mengeluarkan laporan akhbar bercetak, sebaliknya lebih kepada laporan berita dalam talian atau portal, Kadir berkata laporan akhbar bercetak harus dipertahankan.

“Kita tidak harus dikawal oleh teknologi. Saya rasa membaca surat khabar dan buku masih penting kerana jika hanya baca dalam talian atau aplikasi WhatsApp, kita tidak mendapat gambaran secukupnya.

“Kita boleh baca berita portal tetapi saya rasa membaca bahan bercetak masih penting kerana akhbar dan buku mempunyai unsur arkib... boleh simpan, boleh ulang baca,” katanya sambil menambah walaupun keadaan perniagaan (akhbar) kini sukar, tidak harus menyerah kalah.

Apa yang menjadi masalah katanya, ramai orang menolak akhbar kerana laporan politik yang tidak secocok dengan pendapat mereka sedangkan akhbar mempunyai maklumat lain yang penting dan perlu dipertahankan serta dipromosi.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau turut menasihatkan supaya menteri yang ada hari ini supaya tidak sombong kerana ia akan menjadi punca kejatuhan sesebuah parti termasuk Pakatan Harapan (PH).

Berita Harian X