Jumaat, 30 November 2018 | 6:29pm
ANGGOTA polis mengutip sampah bagi menjaga kebersihan semasa membuat kawalan di sekitar Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Putra Heights hari ini. - Foto BERNAMA
ANGGOTA polis melakukan kerja pembersihan di sekitar Kuil Sri Maha Mariamman USJ 25. - NSTP/Saddam Yusoff

PDRM teruskan kawalan di kuil Sri Maha Mariamman

SUBANG JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus mengadakan kawalan di kuil Sri Maha Mariamman di sini, serta kawasan berhampiran, meskipun kejadian pencerobohan oleh sekumpulan lelaki sudah memasuki hari kelima.

Tinjauan NSTP di lokasi itu mendapati polis turut mengadakan kawalan di beberapa laluan menuju ke kuil berkenaan, selain melakukan tugas pemantauan di kawasan sekitar bagi mengelak insiden bermula awal pagi Isnin berulang.

Antara yang ditempatkan di kawasan USJ 25, di sini adalah pegawai dan anggota daripada Unit Simpanan Persekutuan (FRU), trafik, Unit Rondaan Bermotosikal URB, Unit Kereta Peronda (MPV) serta polis berpakaian biasa.

Sama seperti sebelum ini, tiga khemah yang didirikan bagi menempatkan pegawai dan anggota polis di hadapan kuil berkenaan masih beroperasi sehingga arahan terbaru dikeluarkan selain bergantung kepada situasi dan keadaan semasa.

Berdasarkan tinjauan sejak pagi sehingga jam 5 petang tadi, pekarangan kuil terus dikunjungi beberapa penganut Hindu, walaupun jumlahnya agak kecil berbanding sebelum ini.

Aliran trafik di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) menuju ke Shah Alam dan Puchong yang berhadapan dengan kawasan kuil pula sedikit perlahan selepas sebahagian besar pengguna lebuh raya memperlahankan kenderaan mereka sebaik melalui kawasan ini.

Insiden rusuhan yang bermula Isnin lalu itu menyebabkan 23 kenderaan musnah dibakar, manakala cermin pusat beli-belah turut dipecah dan dirosakkan.

Setakat ini seramai 30 individu sudah ditahan dipercayai terbabit dalam rusuhan di sekitar kuil berkenaan.

Polis kini sedang menyiasat dan mengesan dalang yang mencetuskan kekecohan di kuil berkenaan.

Berita Harian X