Khamis, 29 November 2018 | 7:15pm
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - NSTP/ Mohd Yusni Ariffin

Isu tanah kuil perlu selesai secara rundingan - Anwar

KUALA LUMPUR: Pertikaian tanah antara Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya dan syarikat pemaju, One City Development Sdn Bhd (One City) perlu diselesaikan secara rundingan.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kekusutan yang mencetuskan rusuhan itu perlu diselesaikan secara aman, manakala pihak terbabit dalam insiden keganasan mesti dihukum.

Katanya, pihak yang terbabit dalam menyelesaikan isu itu khususnya kerajaan Selangor perlu terbuka mendengar pandangan kedua-dua pihak sebelum memutuskan langkah penyelesaian.

“Penyelesaian dalam isu ini harus secara rundingan dan aman, manakala sesiapa yang terbabit dalam keganasan pula mesti diambil tindakan keras.

“Sebaik tiba dari Istanbul, saya hubungi Menteri Besar Selangor dan tekankan mengenai keperluan memberikan penjelasan.

“Perkara pertama yang perlu dijelaskan adalah dari sudut fakta dan keduanya berhubung keputusan dibuat kerajaan negeri sebelumnya, di samping kesediaan mendengar pandangan sebelum dimuktamadkan,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen, hari ini.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, dalam satu kenyataan sebelum ini berkata, kerajaan negeri akan memutuskan langkah penyelesaian berkaitan isu pemindahan kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya esok.

Berhubung rusuhan yang mencetuskan polemik perkauman, Anwar yakin rakyat Malaysia bijak menilai isu berkenaan dan tidak terikut-ikut untuk bertindak secara ganas dan melanggar undang-undang.

“Soal kaum dan agama ini memang mudah mencetuskan permusuhan serta pertelagahan, tapi saya rasa majoriti rakyat tidak terbawa-bawa untuk tunduk dengan cara ganas dan kotor.

“Orang ikut sentimen ini selalunya tidak teliti fakta dan banyak yang mereka tidak tahu, sebab itu harus diberi penekanan kita selesaikan melalui rundingan dan aman,” katanya.

792 dibaca
Berita Harian X