Khamis, 29 November 2018 | 3:19pm
TUN Dr Mahathir Mohamad

Kerajaan Persekutuan tak campur urusan tanah kuil - PM

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan negeri Selangor berhak memutuskan sama ada mahu mengambil alih tanah Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya yang menjadi pertikaian dengan syarikat pemaju ketika ini.

Perdana Menteri berkata, Kerajaan Selangor berhak berbuat demikian kerana perkara membabitkan soal tanah tertakluk di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan bukan Kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun, katanya, sebarang tindakan kerajaan negeri tetap terikat dengan keputusan mahkamah berhubung pertikaian tanah berkenaan.

“Jika kerajaan negeri mahu, mereka boleh mengambil semula tanah itu, tetapi mereka tetap terikat dengan keputusan mahkamah.

“Perkara membabitkan soal tanah adalah di bawah bidang kuasa negeri. Kerajaan Persekutuan tidak ada sebarang hak (masuk campur). Kita hanya boleh bertanggungjawab menangani isu membabitkan rusuhan,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Perdana Menteri ditanya mengenai laporan sebuah portal tempatan yang memetik sumber sebagai berkata, Kerajaan Selangor akan mengambil alih tanah yang menjadi pertikaian di Subang Jaya dan menyerahkannya kepada pihak kuil Sri Maha Mariamman.

Dalam penghakiman persetujuan sebelum ini, One City Development Sdn Bhd (One City) bersetuju mendepositkan wang RM1.5 juta kepada pihak kuil dan penangguhan penempatan semula kuil bagi memberi laluan kepada upacara perlu diadakan sebagai usaha pemaju menyelesaikan isu pemindahan secara aman.

Ditanya jika langkah kerajaan negeri mengambil alih tanah bagi menyelesaikan isu itu akan menjadi ikutan pada masa depan, Dr Mahathir berkata, kerajaan akan berusaha memastikan insiden sedemikian tidak berulang.

“Masalahnya ialah rumah ibadat dibina atas tanah orang lain. Isu timbul apabila pemilik mahukan tanah itu.

“Pada masa depan, semua rumah ibadat perlu mendapat izin kerajaan Persekutuan atau negeri,” katanya.

Perdana Menteri juga akan mempertimbangkan sama ada kerajaan sedia menjadi orang tengah bagi pertikaian membabitkan rumah ibadat dan pemilik tanah.

Berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menolak permohonan penganut di Kuil Sri Maha Mariamman menangguhkan perintah pengambilalihan semula tanah kuil oleh One City, Dr Mahathir berkata, ia boleh dirayu di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Mengenai pendedahan peguam syarikat pemaju mengupah orang Melayu untuk ‘menjaga’ kuil itu, Dr Mahathir berkata ia bukan tindakan yang wajar.

“Kita tidak minta orang Melayu melindungi kuil Hindu, sebagaimana orang Melayu tidak meminta penganut Hindu menjaga masjid. Ia bukan perkara yang baik dan insiden (rusuhan) ini tercetus kerananya,” katanya.

Menjawab soalan sama ada kerajaan akan bertindak terhadap One City, Dr Mahathir berkata tindakan akan diambil jika syarikat itu didapati melanggar undang-undang.

1592 dibaca
Berita Harian X