Rabu, 28 November 2018 | 7:57pm
DR Xavier Jayakumar

'Penebangan hutan sudah jadi isu keselamatan negara'

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pusat memohon kerjasama kerajaan negeri dalam mengawal aktiviti pembalakan, berikutan Malaysia kini berdepan sekatan eksport minyak sawit ke negara Kesatuan Eropah (EU).

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar, berkata Malaysia berdepan sekatan eksport minyak sawit ke EU susulan negara anggota terbabit mendakwa aktiviti penanaman kelapa sawit mengakibatkan kemusnahan hutan.

Katanya, negara EU menyekat minyak sawit Malaysia kerana merumuskan negara ini terbabit dalam aktiviti yang menyebabkan keluasan hutan berkurangan.

Andaian itu, katanya, tidak mengira sama ada bagi tujuan pembalakan atau membuka kawasan baharu untuk menanam kelapa sawit.

“Dalam isu penebangan hutan, saya meminta kerjasama kerajaan negeri sebab ia kini jadi isu keselamatan negara.

“Kita melalui beberapa program antarabangsa seperti pemulihan biodiversiti, perubahan iklim dan hutan simpan.

“Malaysia kini disekat menjual minyak sawit disebabkan kehilangan kawasan hutan. Ini diguna pakai Parlimen EU dan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2019 peringkat jawatankuasa bagi pihak kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Xavier berkata, isu berkenaan perlu difahami semua pihak dan kerajaan negeri diharap memberi sokongan terhadap usaha kementerian melaksanakan program baharu.

“Kita boleh guna semula tanah yang sebelum ini terbabit pembalakan dan saya difahamkan ada seluas 155,000 hektar tanah yang sesuai untuk program tanam semula.

“Kita boleh bangkitkan satu industri dengan sistem pengurusan hutan mampan atau ekonomi baharu hutan kerana ada pihak berminat melabur menanam spesies pokok hutan yang boleh mendatangkan hasil dalam tempoh beberapa tahun.

“Hasilnya itu akan masuk ke dalam akaun negeri. Kalau negeri faham, ini cara untuk tingkatkan pendapatan negeri juga di samping menangani aktiviti penebangan balak,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sistem e-tanah akan diperluaskan ke Perak, Terengganu, Putrajaya, Labuan, Selangor, Pahang, Johor, Kelantan, Kedah dan Perlis.

Katanya, pelaksanaan e-tanah dijangka menjimatkan perbelanjaan kementerian RM111 juta kerana syarikat penyedia perkhidmatan menggunakan sistem awan untuk menyimpan data e-tanah tanpa perlu menyediakan perkakasan di pejabat tanah negeri.

“Kita juga akan beri peluang kepada Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Melaka melaksanakan e-tanah,” katanya.

Xavier berkata, perbincangan akan diadakan dengan Kementerian Kewangan dan Unit Perancangan Ekonomi (EPU) bagi menyediakan peruntukan dalam melaksanakan program menurunkan kadar kehilangan air tidak berhasil (NRW).

“Purata kehilangan NRW seluruh negara berada pada paras 35 peratus. Di Pahang kadarnya 46 peratus, Kelantan (67 peratus) dan Perlis (76 peratus).

“Kalau nak kurangkan satu peratus, kita kena belanja sehingga RM800,000. Itu sebabnya kita akan mengadakan program agresif mengurangkan NRW seluruh negara,” katanya.

Berita Harian X