Rabu, 28 November 2018 | 6:37pm

One City nafi upah samseng ceroboh kuil

KUALA LUMPUR: Syarikat pemaju, One City Development Sdn Bhd (One City), anak syarikat MCT Berhad menafikan pihaknya memberi upah kepada sekumpulan samseng untuk melakukan rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, kelmarin.

Menerusi satu kenyataan hari ini, syarikat pemaju itu berkata, kakitangannya yang ditempatkan di lokasi berkenaan diarahkan untuk memberi sokongan logistik dan membantu untuk penempatan semula secara teratur di bawah pengawasan pihak polis.

“Malah kami turut memberi kerjasama dengan pihak berkuasa dalam siasatan berkaitan kejadian rusuhan yang berlaku,” katanya.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada sidang media khas di Putrajaya menjelaskan siasatan polis mendapati peguam kepada pemaju One City memberi upah RM150,000 kepada 50 lelaki untuk menceroboh, mengambil alih dan mengawal kuil berkenaan.

Muhyiddin dilaporkan berkata, dua peguam terbabit adalah antara 21 orang yang sudah ditahan polis bagi membantu siasatan insiden rusuhan itu.

“Siasatan polis mendapati peguam syarikat pemaju mengupah sekumpulan lelaki untuk ceroboh dan kawal kuil sebelum polis datang ke tempat kejadian.

“Sejumlah RM150,000 diserah kepada ketua kumpulan ini yang mana setiap orang diberi upah antara RM150 hingga RM300,” kata Muhyiddin.

2250 dibaca
Berita Harian X