Rabu, 28 November 2018 | 4:06pm
LEE Lam Thye

Tingkatkan automasi di tempat kerja

PUTRAJAYA: Majikan di semua sektor perlu mempertingkatkan pelaksanaan automasi bagi proses pematuhan keselamatan termasuk penggunaan peralatan keselamatan selaras Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0).

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata berikutan itu, majikan perlu bersedia membuat pelaburan terhadap kemudahan dan peralatan teknologi terkini berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

“Saya berharap majikan menyahut seruan ini dalam melengkapkan pekerja dengan teknologi baharu, peralatan canggih di samping bekerja dalam suasana selamat dan sihat.

“Penggunaan teknologi terkini juga membolehkan syarikat melindungi pekerja dengan lebih berkesan selain membantu mencapai daya saing melalui pengurangan kos,” katanya pada sidang media Persidangan Saintifik Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kali Kelima (SciCOSH 2018) di sini, hari ini.

Beliau turut memberikan contoh teknologi terkini yang boleh diguna pakai seperti, peralatan perlindungan diri (PPE) dilengkapi sensor atau teknologi pengenalan frekuensi radio (RFID) yang dapat membantu mempercepatkan pengumpulan data dengan tepat dan cekap.

Dalam pada itu,Lam Thye berkata, pihaknya juga bersedia memberi pendedahan kepada pekerja di mana-mana sektor mengenai teknologi terkini berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan kepada pihak industri.

Mengenai persidangan itu, beliau berkata, ia adalah platform terbaik untuk pihak berkepentingan melakukan perbincangan berkaitan penyelidikan dan perkongsian pelaksanaan promosi keselamatan, kesihatan dan alam sekitar.

Katanya, acara dwitahunan itu disertai 200 peserta dan pada kali ini, ia turut memberi tumpuan kepada penyelidikan saintifik terkini keselamatan dan kesihatan pekerjaan termasuk berkaitan Industri 4.0.

Terdahulu, Lam Thye menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara NIOSH Malaysia dan NIOSH Jepun di mana kedua-dua pihak bersetuju bekerjasama dalam pelbagai bidang keselamatan, pembinaan, alam sekitar, ergonomik dan keselamatan proses kimia.

Berita Harian X