Selasa, 27 November 2018 | 7:58pm
AHLI Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan. - Foto Rosela Ismail

Ahli Parlimen sepakat bela nasib pekebun kecil

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen dalam kalangan penyokong kerajaan dan pembangkang senada meminta bantuan sara hidup (BSH) musim tengkujuh untuk pekebun kecil getah dikembalikan dalam Belanjawan 2019.

Perkara itu dibangkitkan Datuk Ahmad Maslan (BN UMNO-Pontian) yang menyatakan simpati kerana peruntukan diterima Kementerian Perusahaan Utama dalam Belanjawan 2019 berkurangan RM432 juta daripada RM938 juta yang diterima tahun lalu.

Katanya, kementerian itu hanya menerima RM506 juta yang mana sejumlah RM206 juta Bantuan Sara Hidup Musim Tengkujuh dipotong daripada Belanjawan.

“Saya simpati dan minta menteri memohon kepada kerajaan supaya peruntukan BSH dikembalikan kerana pekebun kecil mengalami kekurangan pendapatan akibat kejatuhan harga getah.

“Saya ada menemui Presiden Persatuan Kebangsaan Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM), Aliasak Ambia, yang menyatakan peruntukan RM50 juta Insentif Pengeluaran Getah (IPG) oleh kerajaan dalam Belanjawan 2019 bukan penyelesaian penurunan harga komoditi yang dihadapi penoreh.

“Maka kembalikanlah BSH musim tengkujuh itu,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 bagi Kementerian Perusahaan Utama peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat, hari ini.

Perkara sama dipersetujui Wong Shen (PH PKR-Subang)yang mahu menteri mempertimbangkan nasib penoreh getah yang kini tertekan dengan penurunan harga komoditi itu.

“Saya setuju kerajaan perlu memberikan BSH tengkujuh. Saya pun asal dari Kelantan, saya tahu kalau tiba musim tengkujuh ini apa pun tidak boleh buat.

“Rakan saya di sebelah sana (pembangkang) beri peluang kepada menteri memahami isu ini kerana beliau adalah ‘City Girl’ kurang arif dalam isu ini,” katanya merujuk kepada Menteri Perusahaan Utama, Teresa Kok.

Mencelah perbahasan Wong Chen, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim (BN UMNO-Baling) yang mahu kerajaan mengembalikan BSH musim tengkujuh walaupun ada pemotongan dalam belanjawan.

Datuk Johari Abdul (PH PKR-Sungai Petani) turut mencelah perbahasan yang menyifatkan pemotongan bantuan itu sebagai pengkhianatan kepada penoreh getah yang membantu kemenangan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) meminta kerajaan mempertimbangkan harga lantai Skim IPG kepada RM3 berbanding RM2.50 yang dicadangkan kerana ia masih tidak membantu penoreh getah.

“Penoreh getah ini dalam zaman gelap, jadi naikkan IPG kepada RM3. Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan Ahli Parlimen perlu membantu penoreh getah membuat tuntutan IPG kerana difahamkan hanya 20 peratus penoreh berbuat demikian.

“Kembalikan semula BSH musim tengkujuh bernilai RM200 sebulan hanya untuk tiga bulan kepada penoreh kerana mereka tidak dapat bekerja akibat cuaca, bukannya malas,” katanya.

Sementara itu, Kok ketika menggulung perbahasan berkata, kerajaan tidak memberi BSH musim tengkujuh kerana tidak membabitkan produktiviti pengeluaran getah.

“Kerajaan akan memberikan bantuan berdasarkan produktiviti seperti IPG.

“Kita terpaksa buat pemotongan drastik kerana kerajaan tidak ada banyak peruntukan,” katanya.

Berita Harian X