Selasa, 27 November 2018 | 7:07pm
Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad - Foto SADDAM YUSOFF

Gunakan pendekatan berhujah hadapi golongan LGBT

KUALA LUMPUR: Konsep rahmatan lil alamin tidak akan menjadikan Islam sebagai lemah dan akur kepada tuntutan menyimpang, sebaliknya menggunakan pendekatan berhujah dengan cara terbaik.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, berkata konsep Islam sebagai rahmat kepada seluruh alam itu, perlu difahami secara khusus dengan lebih teliti dalam konteks penafsiran ayat serta kefahaman secara harfiah dan bukan harfiah.

Khalid berkata, ia menuntut umat Islam mendekati golongan LGBT itu untuk memberi penjelasan dan penerangan agama yang bukan semata-mata bersifat menghukum.

“Jika kita lihat semula pada surah al-A’raf ayat 80 hingga 82, Nabi Lut AS tidak mencaci, melaknat atau memukul kaumnya, sebaliknya berhujah.

“Nabi Lut AS merayu supaya mereka menggunakan akal dan perasaan bahawa apa yang dilakukan tidak pernah dibuat oleh manusia lain.

“Islam bukan agama yang semata-mata menghukum penganutnya sebaliknya mesra, penuh kasih-sayang dan selamat termasuk kepada orang bukan Islam,” katanya pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Wilayah Persekutuan di Kompleks Pusat Islam di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Mohd Ajib Ismail; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Dahlan dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Abdul Aziz Jusoh.

Khalid berkata, bagaimanapun kerajaan akan terus bertindak dan menghalang segala bentuk provokasi semasa yang bertentangan dengan syariat Islam termasuk membabitkan golongan LGBT.

“Tuntutan pihak tertentu yang bercanggah dengan syariat Islam ini jelas dimurkai Allah SWT sehingga termaktub di dalam al-Quran menerangkan balasan terhadap kaum Nabi Lut AS atas perbuatan jijik itu,” katanya.

Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Wilayah Persekutuan yang dihadiri lebih 1,500 peserta itu, turut dimeriahkan dengan kempen #JomCintaNabi anjuran BH.

Pada majlis itu, poster eksklusif #JomCintaNabi yang mengandungi kronologi hidup Rasulullah SAW dan senarai semak sahsiah, akhlak dan sunnah turut diedarkan untuk menyemarakkan lagi penghayatan serta kecintaan masyarakat terhadap Nabi Muhammad SAW.

Selain penyampaian anugerah kepada penerima Tokoh dan Anugerah Maulidur Rasul 2018, majlis turut dimeriahkan dengan ceramah khas bertajuk Rasul SAW: Keperibadian Terpuji, Perjuangan Dihayati oleh Pengarah Bahagian Penerbitan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Hazarudin Baharudin, selawat beramai-ramai serta persembahan nasyid.

544 dibaca
Berita Harian X