Isnin, 26 November 2018 | 2:28pm
KHAIRY Jamaluddin. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Arahan pinda laporan audit 1MDB serius - Khairy

KUALA LUMPUR: Tindakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengarahkan nama Low Taek Jho atau Jho Low dikeluarkan daripada Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), adalah mengecewakan.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, berkata pendedahan Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad, semalam berhubung arahan itu adalah perkara amat serius jika benar ia berlaku.

“Jika benar arahan memadamkan kehadiran Jho Low dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB itu berlaku, ia adalah tindakan yang serius dan mengecewakan,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Madinah semalam yang mendedahkan beberapa perenggan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dikeluarkan, antaranya membabitkan nama Jho Low atas arahan Najib dan pegawainya.

Susulan itu, Najib semalam menjelaskan pihaknya menerusi Kementerian Kewangan pernah mengeluarkan kenyataan mengenainya di Parlimen pada 2015.

Antara lain, katanya, ia mengesahkan ahli perniagaan dalam buruan itu pernah menghadiri mesyuarat 1MDB mewakili syarikat PetroSaudi International Ltd (PetroSaudi) dan seorang putera.

Bagaimanapun, Khairy mempersoalkan penjelasan Najib itu kerana arahan pindaan berkenaan tidak sepatutnya berlaku jika benar penjelasan berkenaan kehadiran Jho Low pernah dibuat secara terbuka.

“Jika itu benar, kenapa ada kenyataan daripada Ketua Audit Negara mengatakan ada arahan untuk meminda laporan itu.

“Ada percanggahan antara penjelasan Najib dan kenyataan Ketua Audit Negara. Kita tunggu penjelasan lanjut Ketua Audit Negara mengenai perkara ini serta hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

Ditanya sama ada kehadiran Jho Low dalam mesyuarat 1MDB pernah dimaklumkan kepada Kabinet sebelum ini, Khairy berkata, ia tidak pernah berlaku manakala kebanyakan perkara mengenai syarikat pelaburan strategik negara itu tidak diberitahu kepada jemaah Kabinet.

Mengenai kewajaran pindaan dan pengguguran dalam laporan itu dibuat, bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, ia tidak sepatutnya berlaku kerana laporan audit perlu bebas dan berkecuali.

“Saya sebagai menteri dulu pun banyak kali kementerian disiasat, diaudit dan ditegur. Kita terima sebab itu perkara biasa dalam kerajaan, mesti diaudit dan kelemahan perlu diatasi,” katanya.

3746 dibaca
Berita Harian X