Isnin, 26 November 2018 | 12:43pm
TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin. - Foto Asyraf Hamzah

Kes budak mati didera, rogol kekal di mahkamah jenayah

KUALA LUMPUR: Prosiding kes kematian membabitkan seorang bayi perempuan berusia 11 bulan akibat didera dan dirogol suami pengasuhnya di Bandar Baru Bangi, baru-baru ini, kekal di mahkamah jenayah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin, berkata kes berkenaan tidak akan dipindahkan ke Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak kerana membabitkan kes kematian.

“Kes itu membabitkan kematian bukan jenayah seksual walaupun ada perlakuan rogol dan nama pun kes kematian.

“Agak sukar atau mungkin timbul masalah kalau kes itu dibawa ke mahkamah jenayah seksual kanak-kanak.

“Buat masa ini saya tidak nampak kes itu boleh dibawa ke Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak walaupun mangsanya adalah kanak-kanak.

“Ia lebih kepada kes jenayah pembunuhan dan sepatutnya dibawa ke mahkamah biasa (jenayah),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Azalina Othman Said (BN UMNO-Pengerang) yang bertanya sama ada kes berkenaan boleh dibawa ke Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak kerana mangsa adalah bayi perempuan.

Pada 9 November lalu, seorang bayi perempuan berusia 11 bulan meninggal dunia lalu selepas dua hari dilaporkan tenat selepas dipercayai didera secara fizikal dan seksual oleh suami pengasuhnya.

Kes itu awalnya diklasifikasikan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001, namun, selepas mangsa meninggal dunia, kes itu diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Terdahulu Mohamed Hanipa berkata, Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 diiktiraf sebagai dokumen perundangan menyeluruh dalam menangani kes jenayah dan seksual terhadap kanak-kanak.

“Saya akui Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak memang kita boleh beri kredit kepada Pengerang (Azalina) kerana ia adalah hasil ‘kraftangan’ beliau ketika menjadi kerajaan.

“Saya beranggapan akta ini melindungi kanak-kanak dan secara relatifnya untuk mendakwa pelaku seksual kanak-kanak. Ia tidak sempurna tapi kalau ada kekurangan, ia akan ditutup.

“Cuma masalah dihadapi dalam kes pendakwaan seksual kanak-kanak biasanya bukan disebabkan aspek bukti, tetapi masalah pada peringkat penyiasatan seperti pengadu menarik balik laporan, pengadu tidak dapat hadir mahkamah dan sebagainya,” katanya.

Berita Harian X