Ahad, 25 November 2018 | 6:27pm
DATUK Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengadakan lawatan kerja di Hospital Permai, hari ini. - Foto Zain Ahmed

KKM akan bertindak terhadap salun kecantikan gigi haram

JOHOR BAHRU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengambil tindakan terhadap kewujudan klinik pemutihan gigi haram yang berselindung sebagai pusat kecantikan gigi yang didakwa semakin berleluasa.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata pihaknya ada menerima laporan berhubung isu berkenaan, namun KKM tidak menerima aduan yang membahayakan kesihatan.

“Sejujurnya, saya tidak mendapat apa-apa maklumat mengenai perkara ini, tetapi kita faham sudah ada laporan mengenainya.

“KKM akan ambil tindakan dan kita akan buat pemerhatian,” katanya ketika sidang media dalam lawatan kerjanya ke Johor di Hospital Permai di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung laporan eksklusif BH hari ini yang melaporkan kewujudan klinik pemutihan gigi haram yang berselindung sebagai pusat kecantikan gigi dikesan kian berleluasa sehingga dikhuatiri mengundang pelbagai risiko kesihatan kepada pelanggan.

Pusat kecantikan gigi yang dikesan di Lembah Klang itu dikenal pasti menawarkan khidmat pemutihan gigi sejak enam bulan lalu yang dipercayai tidak berdaftar dengan KKM.

Dr Dzulkefly berkata, produk pemutihan gigi adalah dikawal berdasarkan peratus kepekatan hidrogen peroksida dalam bahan pemutihan yang dikawal Biro Farmaseutikal Kebangsaan Malaysia, KKM.

“Setakat ini, tiada aduan yang diterima mengenai kesan lain atau kesan sampingan yang tidak diingini,” katanya.

Difahamkan, tahun ini, sebanyak tiga sijil pengamalan tahunan ditarik balik oleh Majlis Pergigian Malaysia disebabkan kesalahan etika dan lain-lain.

Orang ramai yang ingin memutihkan gigi juga dinasihatkan supaya mendapatkan rawatan pemutihan gigi daripada doktor pergigian yang berdaftar dengan memastikan status pendaftaran pengamal pergigian itu di Sistem Pengurusan Informasi Pengamal Pergigian (DPIMS) atau menghubungi Majlis Pergigian Malaysia di talian 03-83186440 atau e-mel ke mdc@moh.gov.my.

Berita Harian X