Ahad, 25 November 2018 | 12:46pm
Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Dr. Sabri Zainudin Zainul berucap pada program Kayuhan Perdana Perangi Dadah Habis Habisan anjuran Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di perkarangan Stadium Hang Jebat, Krubong. - Foto Rasul Azli Samad

Penagih sukarela ke pusat pemulihan tidak direkod jenayah

MELAKA: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bercadang memperkenalkan program sukarela penagih ke pusat pemulihan supaya individu itu tidak direkodkan sebagai salah laku jenayah.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) AADK, Dr Sabri Zainudin Zainul, berkata perkara itu akan diusulkan oleh Ketua Pengarah, Datuk Seri Zulkifli Abdullah, untuk dibincangkan pada peringkat jawatankuasa peringkat daerah.

“Mereka (penagih) yang datang secara sukarela atau bawah umur (sukarela), tidak akan direkodkan mempunyai jenayah (dadah).

“Ini kerana Ketua Pengarah mahu menggalakkan mereka datang secara sukarela tanpa paksaan bagi menjalani rawatan pemulihan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyertai progran Kayuhan Memerangi Dadah Secara Besar-besaran, yang dirasmikan Ketua Menteri, Adly Zahari, di perkarangan Stadium Hang Jebat di sini, pagi tadi.


Ketua Menteri, Adly Zahari (dua dari kiri) bersama Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Dr. Sabri Zainudin Zainul (kiri) melepaskan peserta kayuhan sejauh 25 kilometer pada program Kayuhan Perdana Perangi Dadah Habis Habisan anjuran Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di perkarangan Stadium Hang Jebat, Krubong. - Foto Rasul Azli Samad

Pada program itu, Adly turut bersama-sama dengan hampir 700 peserta bagi menyertai kayuhan sejauh kira-kira 25 kilometer.

Yang turut hadir, Pengarah AADK negeri, Mohd Yusof Kameh dan EXCO Kesihatan negeri, Low Chee Leong.

Sementara itu, Sabri berkata, sehingga Oktober lalu, jumlah kes penagihan hidu gam mencatatkan seramai 605 orang dan kebanyakannya membabitkan remaja peringkat sekolah menengah.

“Justeru, satu cadangan bagi mewujudkan akta khusus penyalahgunaan bahan sedutan atau inhalan seperti gam dan petrol selain ketagih bahan sedutan gantian seperti minyak tanah dan cat sedang dikemukakan.

“Negara lain seperti Singapura dan Brunei sudah ada undang-undang ini. Jika dibiarkan angka jumlah ini, mungkin akan memudaratkan,” katanya.

Berita Harian X