Jumaat, 23 November 2018 | 4:11pm
HANNAH Yeoh. - NSTP/Roslin Mat Tahir

Jangan cari pengasuh secara dalam talian - Hannah

PUTRAJAYA: Ibu bapa dinasihatkan supaya tidak mencari pengasuh untuk anak mereka secara dalam talian, sebaliknya perlu mendapatkan cadangan peribadi daripada saudara atau kenalan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh, berkata ibu bapa juga boleh mendapatkan cadangan daripada Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM) dan Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (ECCE) bagi mendapatkan calon yang sesuai untuk menjaga anak mereka.

"Jangan cari pengasuh secara dalam talian. Tolong jangan memilih orang yang tidak dikenali, dapatkan cadangan peribadi seperti daripada rakan yang sudah mengenali pengasuh itu.

"Kita di kementerian mahu memastikan ibu bapa boleh terus bekerja dan kanak-kanak selamat," katanya kepada media pada majlis pelancaran Senarai Semak/Panduan Pemilihan Pengasuh Di Rumah di sini, hari ini.

Majlis dilancarkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Hannah berkata, senarai berbentuk infografik itu boleh dijadikan panduan untuk ibu bapa sebelum dan selepas menghantar anak mereka kepada pengasuh.

"Ia adalah mekanisme berbentuk sementara sebelum sistem semakan yang komprehensif yang sedang dibangunkan kementerian siap sepenuhnya tahun depan.

"PPBM, ECCE dan beberapa doktor pakar turut terbabit dalam menghasilkan infografik ini," katanya.

677 dibaca
Berita Harian X