Rabu, 21 November 2018 | 5:06pm
KETUA Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun. - Foto Asyraf Hamzah

Jangan melampaui batas bantah ICERD - PDRM

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang ramai supaya tidak melampaui batas dalam menyuarakan bantahan terhadap isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata biarpun rakyat di negara ini berhak dan bebas menyuarakan pendapat, namun ia perlu dibuat mengikut landasan undang-undang.

Katanya, masyarakat juga diharap tidak menyentuh sensitiviti rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini.

“Semua pihak dinasihatkan menggunakan saluran yang betul dalam menyuarakan pendapat termasuklah mematuhi peruntukan undang-undang.

“Ia termasuklah mematuhi Akta Perhimpunan Aman 2012 sekiranya ingin mengadakan himpunan bantahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad Fuzi berkata, masyarakat dinasihat untuk tidak membuat sebarang kenyataan atau bertindak dalam apa juga cara yang boleh mengganggu gugat keselamatan dan ketenteraman awam.

Katanya, orang ramai harus yakin dengan komitmen kerajaan untuk mengambil kira pandangan semua pihak sebelum membuat sebarang keputusan berhubung ratifikasi ICERD.

“PDRM akan menjalankan amanah bagi menjaga ketenteraman awam seterusnya memastikan tidak wujud sebarang pelanggaran undang-undang termasuk percubaan mana-mana pihak yang ingin mengambil kesempatan terhadap isu itu demi kepentingan agenda mereka,” katanya.

Berita Harian X