Rabu, 21 November 2018 | 1:29pm
MOHD Azis Jamman

Permohonan pemegang MyPR ada rekod jenayah ditolak

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan meluluskan permohonan warganegara kepada pemegang kad pengenalan merah atau Pemastautin Tetap (MyPR) yang memiliki rekod jenayah.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman, berkata semua permohonan untuk bertukar daripada kad pengenalan merah ke kad pengenalan biru atau MyKad akan melalui tapisan keselamatan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagaimanapun, katanya, kelonggaran akan diberikan kepada pemohon berusia 60 tahun ke atas yang gagal tapisan itu dengan syarat tertentu.

“Pemohon berusia 60 tahun dan ke atas yang gagal tapisan keselamatan masih dipertimbangkan untuk dianugerahkan kewarganegaraan.

“Pertimbangan ini adalah jika kesalahan dilakukan mereka adalah lebih 20 tahun lalu dan bukan dalam kategori jenayah berat, profesional atau terancang,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Wong Tien Fatt@Wong Nyuk Foh (PH DAP-Sandakan) yang bertanyakan dasar pertukaran kad pengenalan merah kepada biru membabitkan golongan berkelayakan berdasarkan pengumuman Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 14 Ogos lalu.

Mengulas lanjut, Mohd Azis berkata, pemohon yang sudah mendapat kelulusan masih perlu hadir ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk melalui proses angkat sumpah dan bayaran fi, sebelum Sijil Kewarganegaraan boleh dikeluarkan.

“Ada yang berpandangan selepas dapat surat kelulusan, mereka menganggap sudah dianugerahkan kewaraganegaraan secara automatik.

“Itu tidak benar. Mereka perlu hadir ke JPN dan hanya selepas Sijil Kewarganegaraan diberikan kepada pemohon, barulah kad pengenalan MyKad akan dikeluarkan,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Nyuk Foh mengenai kelewatan proses permohonan, Mohd Azis berkata, ia berlaku kerana proses semakan dokumen oleh agensi kementerian seperti PDRM masih menggunakan sistem manual.

“Namun, kita sedang meneliti untuk memperkenalkan satu sistem perkongsian maklumat yang boleh diakses semua agensi kementerian, contohnya JPN boleh menyemak rekod jenayah pemohon daripada PDRM melalui sistem itu, dan proses permohonan boleh dipercepatkan,” katanya.

Berhubung pertanyaan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (BN UMNO-Maran) sama ada ada warga asing yang tinggal melebihi tempoh akan diberikan kelulusan mendapat MyPR atau MyKad, Mohd Azis berkata mereka tidak akan dipertimbangkan.

“Warga asing yang masuk ke negara ini secara salah menggunakan lorong tikus tidak akan dipertimbangkan untuk diberikan MyPR. Mereka ini jika kita tangkap akan dihantar pulang ke negara asal.

“Mereka yang masuk mengikut proses yang sah serta tinggal dalam tempoh ditetapkan, ini yang kita pertimbangkan,” katanya sambil menambah seramaj 57,191 individu bertaraf pemegang MyPR sudah diberi kewarganegaraan antara 2008 hingga 30 September lalu.

3764 dibaca
Berita Harian X