Selasa, 20 November 2018 | 7:27pm
SETIAUSAHA Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Beri ruang Anwar susun formula - Saifuddin

KUALA LUMPUR: Pemimpin PKR negeri dan ahli diminta bersabar untuk memberi ruang kepada Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyusun formula melantik beberapa individu daripada negeri mengisi jawatan penting di peringkat pusat.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata beliau percaya Anwar ketika membuat penyusunan itu akan melihat semua aspek yang membabitkan kepentingan parti secara keseluruhan.

“Saya tak sebut perlu ada wakil Sabah dan Sarawak tetapi saya percaya beliau akan mengambil kira semua faktor.

“Kalau ada keperluan, kita letaklah (wakil Sabah dan Sarawak).

“Contohnya, ukuran (lantikan) kadangkala kerana ada pemimpin negeri tapi rekodnya kehadirannya pada mesyuarat kalau teruk sangat, payahlah,” katanya ketika ditemui wartawan NSTP selepas sesi rakaman program Soal Rakyat TV3 di Sri Pentas di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan media semalam mengenai keputusan pemilihan PKR yang menyaksikan wakil Sarawak dan Sabah, masing-masing hanya mengisi satu daripada 20 kerusi Majlis Pimpinan Pusat (MPP) bagi penggal 2018- 2021.

Mereka adalah Ahli Parlimen Julau, Sarawak, Larry Sng dan Ketua Cabang Kudat, Sabah, Rahimah Majid.

Keadaan itu turut menimbulkan cakap-cakap perwakilan dari Sarawak ketika Kongres Nasional PKR ke-13 di Shah Alam yang berlangsung dari Jumaat hingga Ahad lalu.

Perwakilan mempersoalkan ketiadaan wakil dari Sarawak atau Sabah bagi mengisi satu daripada empat kerusi Naib Presiden parti.

Mengulas lanjut, Saifuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, perlembagaan parti membenarkan presidennya membuat beberapa lantikan selepas pemilihan baru-baru ini.

“Presiden boleh melantik lima ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, dua naib presiden, setiausaha agung, ketua penerangan, pengarah strategik, pengarah pilihan raya, pengarah komunikasi, itu semua jawatan dilantik.

“Saya percaya Anwar sebagai presiden akan ambil kira semua faktor itu dan berharap anggota parti termasuk pimpinan negeri dapat bersabar untuk beri ruang pada beliau menyusun atur formula ini,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Kerja Raya yang juga Ketua PKR Cabang Lawas, Baru Bian dilaporkan, berkata adalah penting untuk pemimpin yang mewakili suara dari Bumi Kenyalang dan Negeri di Bawah Bayu, diberi kepercayaan mengisi jawatan kanan parti.

Baru turut melihat pemilihan PKR pada kali ini penting, sekali gus menjadi momentum untuk mencabar kedudukan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 nanti.

Bagaimanapun, kegagalan Baru menghadiri Kongres PKR yang dianggap penting selepas kejayaan membentuk kerajaan turut menimbulkan persoalan sama ada ia sebagai tanda protes bekas Pengerusi Pimpinan PKR Sarawak itu.

Anwar, dalam ucapannya pada Kongres Nasional PKR Ke-13 Ahad lalu turut memberi amaran keras kepada menteri dari parti itu kerana gagal menghadiri persidangan berkenaan.

1582 dibaca
Berita Harian X