Selasa, 20 November 2018 | 3:43pm
MUJAHID bergambar bersama penerima anugerah ketika majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1440 Hijrah bersamaan 2018 Masihi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Islam tidak menindas atau menzalimi sesiapa - Mujahid

PUTRAJAYA: Islam adalah agama rahmat yang tidak menindas atau menzalimi sesiapa semata-mata atas dasar perbezaan agama dan budaya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Menurutnya, semangat itu selari dengan ayat kelapan surah al-Mumtahanah selain menegaskan Islam turut mementingkan kebijaksanaan dalam melaksanakan sebarang tindakan.

“Kebijaksanaan adalah kekuatan akal untuk mengawal nafsu amarah dan syahwat yang dipandu oleh syariat untuk melahirkan akhlak baik. Umat Islam seharusnya membentuk jati diri dengan sifat kesantunan untuk mencerminkan keindahan Islam.

“Dengan cara ini, masyarakat bukan Islam akan lebih tertarik untuk memahami Islam dengan lebih dekat, secara tidak langsung dakwah Islamiyah dapat disebarkan dengan mudah,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1440H/2018M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) , di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. Berangkat sama, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Yang hadir sama, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Mujahid berkata, sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini turut dimeriahkan dengan pembabitan pihak swasta seperti kempen #JomCintaNabi yang dianjurkan akhbar Berita Harian (BH) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta dan disokong rakan strategik daripada agensi kerajaan selain badan korporat.

“Antara kegiatan yang dijalankan di pentas media cetak dan digital sepanjang kempen ini adalah 1 Hari 1 Sunnah, peraduan Jom Selawat dan selawat bersama selebriti, kumpulan nasyid dan orang awam serta banyak lagi.

“Justeru, kerajaan mengharapkan lebih banyak lagi pembabitan syarikat swasta dalam mengangkat kedudukan Rasulullah SAW sebagai Rahmatan Lil ‘Alamin,” katanya.

433 dibaca
Berita Harian X