Isnin, 19 November 2018 | 9:16pm
MOHD Ashraf Mustaqim Badrul Munir - Foto MAHZIR MAT ISA

ARMADA BERSATU gesa Waytha Moorthy letak jawatan

KUALA LUMPUR: Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy, meletak jawatan atas tindakannya yang membangkitkan kemarahan rakyat.

Gesaan melalui Biro Pendidikan ARMADA itu turut meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terhadap Waytha Moorthy yang disifatkan mengkhianati Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.


P Waytha Moorthy - Foto MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

EXCO ARMADA, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir, berkata Waytha Moorthy bukan saja hilang ‘locus standi’ bagi membicarakan isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), malah perlu memohon maaf atas perlakuannya.

Beliau berkata, ARMADA memandang serius kenyataan pernah dibuat oleh Waytha Moorth yang didakwa menampakkan ‘wajah sebenarnya’ yang tidak berpegang pada tunjang kedaulatan negara.

“Tuduhan beliau bahawa penganut Hindu ‘dipaksa’ meninggalkan agama Hindu di negara ini, adalah sangat berat, berunsur hasutan dan bertentangan dengan praktik Perlembagaan Persekutuan, malah mampu mencetus ketegangan serantau domestik dan antarabangsa.

“Perkara 3 mengangkat Islam sebagai agama Persekutuan dan penganut lain bebas mempraktikkan sama ada dari segi adat serta kepercayaan, dihormati setiap kaum di Malaysia, terutama Melayu Bumiputera di tanah pusaka ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Ashraf Mustaqim berkata, kenyataan rasmi Waytha Moorthy menerusi kapasiti HINDRAF, baru-baru ini, juga seolah-olah tidak menunjukkan rasa kesal, jauh sekali tanda permohonan maaf.

“Malah, beliau cuba berbohong menyatakan bahawa video temu bual yang tular itu dilakukan sekitar 2007, sedangkan beliau menyebut ‘over last 54 years since independent’ yang bermaksud video itu dipercayai terhasil sekitar 2011 mengambil kira Malaysia merdeka pada 1957.

“Beliau juga berdolak-dalik dalam cubaan menyelamatkan diri dengan menyalahkan kezaliman rejim UMNO-Barisan Nasional (BN), sedangkan apa yang diperkatakannya sendiri dalam video itu jelas suatu falasi (tanpa sedikit pun merujuk kepada UMNO),” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said, pula berkata Waytha Moorthy seharusnya lebih peka dan sensitif dalam isu ICERD kerana menimbulkan perasaan tidak senang memandangkan ia menyentuh sensitiviti kaum dan agama.

“Justeru, saya menggesa Menteri untuk menarik balik kenyataan berbaur perkauman dan mengguris hati serta meminta maaf kepada rakyat.

“Langkah ini perlu sebagai tanda tanggungjawab beliau selaku Menteri yang dipertanggungjawabkan menjaga perpaduan di negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kenyataan berbeza oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa mustahil untuk kerajaan melaksanakan kandungan ICERD, turut menimbulkan kekeliruan berhubung pendirian sebenar kerajaan Pakatan Harapan (PH).

6057 dibaca
Berita Harian X