Isnin, 19 November 2018 | 6:18pm
SA. Vigneswaran ketika sidang media di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Tiada diskriminasi kaum India - Vigneswaran

KUALA LUMPUR: Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran menafikan wujud diskriminasi terhadap kaum India dan agama Hindu di negara ini ketika pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Katanya, masyarakat India di negara ini, khususnya yang beragama Hindu bebas untuk menganut dan mengamalkan ajaran itu, dan menjadikan kewujudan Kuil Sri Mahamariamman Dhevasthanam di Batu Caves sebagai bukti kebebasan itu.

Sehubungan itu, katanya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy perlu berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang tuduhan seumpamanya kerana ia boleh menjejaskan perpaduan antara kaum.

“Beliau cakap banyak sangat dulu. Di luar negara, termasuk India pun tidak ada patung Dewa Murugan yang besar seperti di Batu Caves.

“Saya harap Waytha Moorthy akan berubah dan mungkin beliau sudah berubah pendirian sebab sekarang sudah bekerja dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH),” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Vigneswaran berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Waytha Moorthy dalam video yang dirakam 10 tahun lalu, mendakwa berlaku pelanggaran hak asasi manusia yang serius di Malaysia.

Dalam video temubualnya dengan stesen televisyen Belanda itu, Waytha Moorthy ketika itu mendakwa masyarakat India beragama Hindu dipaksa menukar agama untuk bekerja di agensi kerajaan serta 10,000 kuil dirobohkan, selain pelajar cemerlang kaum itu tidak diberikan penajaan pendidikan.

Vigneswaran yang juga Yang Dipertua Dewan Negara berkata, pihaknya tiada masalah untuk bekerjasama dengan Waytha Moorthy jika Pengerusi HINDRAF itu boleh membantu kaum India di negara ini.

Ditanya sama ada Waytha Moorthy perlu dipecat daripada menjadi menteri yang menjaga portfolio perpaduan, Vigneswaran berkata ia terpulang sepenuhnya kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

5300 dibaca
Berita Harian X