Isnin, 19 November 2018 | 6:14pm
DR Wan Azizah ketika Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Jawatankuasa khas berkaitan institusi pendidikan awal kanak-kanak akan ditubuhkan

KUALA LUMPUR: Kerajaan merancang menggabungkan semua institusi pendidikan awal kanak-kanak di seluruh negara menerusi penubuhan Jawatankuasa Khas Bagi Mengawal Selia Secara Bersepadu Penubuhan dan Operasi Institusi Pendidikan Awal Kanak-Kanak Di Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata penubuhan jawatankuasa itu sudah diluluskan oleh Kabinet dan dipengerusikan bersama oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kementerian Pendidikan.

“Antara objektif penubuhan jawatankuasa ini adalah untuk merintis penubuhan badan khas yang mempunyai kuasa eksekutif untuk memantau pelaksanaan, menyelaras dan mengawal selia institusi pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia.

“Bagaimanapun, kerajaan tidak akan meminggirkan hak dan tanggungjawab sedia ada setiap kementerian dan agensi yang terbabit pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab isu dibangkitkan Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN UMNO-Padang Terap) mengenai isu pendidikan awal kanak-kanak di negara ini.

Mengulas lanjut, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, beliau akan mempengerusikan satu mesyuarat membabitkan semua kementerian serta agensi berkaitan.

“Yang Berhormat Padang Terap, kerajaan sedar mengenai isu pendidikan awal kanak-kanak di bawah usia enam tahun. Bagi kanak-kanak berusia di bawah empat tahun, mereka ditempatkan di Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) manakala berusia lima dan enam tahun di Taman Didikan Kanak-Kanak (TADIKA).

“Kedua-dua institusi ini dikawal selia oleh kementerian dan agensi yang berlainan serta tertakluk di bawah akta yang berbeza,” katanya.

Berita Harian X