Isnin, 19 November 2018 | 6:04pm
SAIFUDDIN Nasution Ismail. - Nstp/Mohamad Shahril Badri Saali

Tiada perancangan turunkan harga minyak masak

PUTRAJAYA: Kerajaan setakat ini belum ada perancangan untuk menurunkan harga minyak masak sama ada paket satu kilogram (kg) bernilai RM2.50 atau selain itu walaupun berlaku kejatuhan harga minyak sawit.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata buat masa ini ia bukan penyelesaian yang praktikal.

"Tahun ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) diperuntukkan hampir RM700 juta untuk subsidi minyak masak bagi paket satu kg, yang mana kerajaan memberi subsidi RM0.60 bagi membolehkan harga minyak masak paket satu kg dijual dengan harga RM2.50.

"Jumlah RM700 juta itu adalah amaun yang besar dalam memberi subsidi kepada rakyat dalam kategori minyak masak satu kg.

"Memang dalam keadaan ketika ini (kejatuhan harga minyak sawit) bermaksud subsidi kerajaan akan jadi makin tipis dan akan ada penjimatan tetapi tidak sampai kepada kerajaan nak buat keputusan untuk nak turunkan harga minyak masak.

"Minyak masak selain paket satu kg setakat ini kekal dijual mengikut harga pasaran berdasarkan permintaan dan bekalan. Setakat ini, di pasaran memang ada berlaku penurunan kepada harga minyak masak jenis itu" katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Modul Etika Perniagaan Malaysia dan Pelantikan Ahli Kumpulan Pengamal Profesional (PPG) Etika Perniagaan Malaysia di sini, hari ini.

Semalam, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mempersoalkan mengapa kerajaan tidak mahu memastikan rakyat mendapat manfaat daripada kejatuhan harga minyak sawit.

Ia berikutan harga minyak sawit untuk bulan Disember hanya RM1,775 satu tan iaitu hampir 50 peratus lebih rendah berbanding harga pada akhir 2016.

Berita Harian X