Isnin, 19 November 2018 | 5:18pm
ANTHONY Loke Siew Fook

MTSB ditubuhkan tahun depan

KAJANG: Kementerian Pengangkutan akan menubuhkan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Malaysia (MTSB) pada tahun depan, yang akan bertanggungjawab untuk menyiasat kes kemalangan jalan raya di negara ini.

Menterinya, Anthony Loke, berkata kementerian kini sedang menyiapkan deraf akta bagi penubuhan lembaga itu dan dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada suku pertama tahun hadapan.

Katanya, penubuhan MTSB disyorkan Panel Kaji Semula Syor (RRP), sebuah panel bebas diwujudkan kementerian yang mencadangkan keperluan untuk menubuhkan agensi khas bagi menyiasat kemalangan jalan raya di seluruh negara.

“Deraf akta itu sedang dirangka dan diperincikan oleh Pejabat Peguam Negara. Kita berharap ia akan dapat dibentangkan di Parlimen pada Mac tahun depan dan diluluskan untuk membolehkan MTSB ditubuhkan.

“Soal operasi, peranan dan kuasa lembaga itu akan diketahui apabila deraf akta berkenaan selesai dirangka dan dibentangkan di Parlimen.

“Kita mengambil modul dari Australia dan Amerika Syarikat bagi mewujudkan MTSB,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan Laporan Status Pelaksanaan 51 Syor Penambahbaikan Panel Penasihat Bebas (PPB) di Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian merangkap Pengerusi Bersama PPB, Datuk Seri Saripuddin Kasim dan Pengerusi MIROS, Tan Sri Lee Lam Thye.

PPB adalah panel pemantau status pelaksanaan 51 syor penambahbaikan perkhidmatan bas bagi kes kemalangan membabitkan bas di Kilometer 3.6 Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur pada 2013.

Sementara itu, Loke ketika mengulas syor daripada laporan itu berkata, mulai tahun 2020, kementerian mewajibkan semua bas ekspres dan persiaran baharu memasang tali keledar pada kerusi penumpang, serta sistem brek sokongan.

Katanya, peraturan itu bertujuan meningkatkan tahap keselamatan penumpang terutama bagi bas yang menempuh laluan tanah tinggi.

“Pelaksanaan pemasangan tali keledar ini selari dengan peraturan Suruhanjaya Ekonomi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Untuk Eropah (UNECE) R80 bagi keselamatan penumpang bas.

“Pemasangan sistem brek sokongan pula akan membantu memperlahankan bas pada waktu kecemasan yang mana keperluannya sangat kritikal bagi laluan tanah tinggi seperti di Genting Highlands dan Cameron Highlands,” katanya.

Selain itu katanya, kementerian turut mewajibkan Program Penggredan Keselamatan (SSG) terhadap operasi bas ke atas semua syarikat pengendali bas ekspres mulai tahun depan.

“Syarikat yang gagal mendapat penarafan SSG walau satu bintang, tidak akan dapat memperbaharui lesen pengendali,” katanya.

Beliau turut berkata, kerajaan juga akan mewajibkan penggunaan Sistem Keselamatan Kanak-kanak (CRS) mulai tahun 2020.

“Kempen untuk menggunakan CRS akan dijayakan pada tahun depan dan sebuah jawatankuasa kecil khas diterajui badan bukan kerajaan (NGO) akan ditubuhkan untuk menggerakkan kempen ini yang akan mendapat dana daripada kementerian,” katanya.

229 dibaca
Berita Harian X