Ahad, 18 November 2018 | 7:09pm
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjawab soalan ketika sidang media selepas Persidangan Kemuncak Ekonomi Asia Pasific (APEC) 2018, di Port Moresby, hari ini. - Foto BERNAMA

Wujud elemen penipuan kerajaan terdahulu

PORT MORESBY (Papua New Guinea): Keputusan mahkamah supaya diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau, Negeri Sembilan menunjukkan terdapat elemen penipuan oleh kerajaan terdahulu untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Mei lalu.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, ketika memberitahu perkara itu turut merujuk kepada kes yang berlaku di Melaka.

Pada PRU lalu, Pakatan Harapan (PH) dipercayai memenangi 40,000 undi pada kiraan pertama, bagaimanapun kalah sebanyak 200 undi pada kiraan kedua.

Perkara itu diberitahu Dr Mahathir kepada media Malaysia selepas upacara penutupan Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) Ke-26 di sini, hari ini.

Jumaat lalu, Mahkamah Khas Pilihanraya Seremban, Negeri Sembilan, memutuskan kemenangan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada PRU-14 batal dan tidak sah.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Azimah Omar, yang turut memutuskan PRK bagi DUN Rantau yang dimenangi Mohamad tanpa bertanding pada PRU-14 lalu, perlu diadakan serta-merta.

Mohamad yang ketika itu Menteri Besar Negeri Sembilan, menang kerusi itu tanpa bertanding selepas Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Rantau, Amino Agos Suyub, tidak membenarkan Dr Streram masuk ke pusat penamaan calon kerana tiada pas calon Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, Majlis Presiden PH akan memutuskan calon untuk PRK itu.


PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (kanan) menjawab soalan ketika sidang media selepas Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasific (APEC) 2018, di Port Moresby, hari ini. - Foto BERNAMA

Isu berhubung parti mana yang akan bertanding tidak akan dibangkitkan, kerana apa yang lebih penting adalah calon berkenaan bakal mewakili keempat-empat parti di bawah PH.

"Calon yang dipilih akan mewakili PH dan bukan BERSATU atau PKR," katanya ketika mengulas khabar angin sekurang-kurangnya tiga calon PH cuba merebut peluang untuk dicalonkan.

Presiden baharu PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan nama Mohd Rafizi Ramli dibangkitkan sebagai salah seorang calon.

Bagaimanapun, Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin, memberitahu kerusi itu seharusnya dipertandingkan oleh calon wanita PH berikutan tiada wakil rakyat wanita di Negeri Sembilan.

Menyentuh berhubung kemungkinan berlaku rombakan Kabinet, Dr Mahathir mengulangi bahawa ia tidak berkaitan memandangkan kerajaan masih baru.

Beliau menjelaskan, tidak pernah menyatakan akan melakukan rombakan Kabinet selepas pilihan raya PKR, sebaliknya, langkah itu hanya akan berlaku sekiranya didesak parti dalam PH.

Berita Harian X