Ahad, 18 November 2018 | 4:41pm
MENTERI Perpaduan dan Kesejahteraan Sosial, P Waytha Moorthy. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

GPMS desak Waytha letak jawatan

BUTTERWORTH: Naib Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Nor Halmey Hamdah menyokong gesaan Ketua Permuda UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, supaya Menteri Perpaduan dan Kesejahteraan Sosial, P Waytha Moorthy meletak dan melepaskan jawatan beliau dalam kerajaan.

Ia susulan penularan video lamanya selaku pemimpin utama pertubuhan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF) memburuk-burukkan negara di negara luar dengan menyebarkan kenyataan palsu berunsur fitnah.

Beliau berkata, Waytha Moorthy sepatutnya ‘walk the talk’ dengan apa yang dikatakannya itu, dan sekiranya ia benar-benar berlaku, seharusnya beliau perlu melepaskan jawatannya di dalam kerajaan.

“Beliau menuduh kerajaan Malaysia zalim dan menindas hak kaum serta penganut agama lain, jadi mengapa perlu berada dalam kerajaan, seharusnya beliau keluar daripada barisan pimpinan kerajaan bagi mengiyakan fitnah jahatnya itu.

“Apa yang dinyatakan di dalam video itu juga menunjukkan bahawa beliau menipu dan mahu menggugat keamanan yang sudah lama wujud di negara ini.” katanya ketika dihubungi hari ini.

Halmey berkata, bukan itu saja, sebagai seorang yang terpelajar, Waytha Moorthy seharusnya faham dan mengetahui kandungan yang terdapat di dalam perlembagaan negara selain kontrak sosial yang sudah kita terima dan sanjung sejak sekian lama.

Beliau berkata, perkara utama yang cuba diperjuangkan menteri ini ialah untuk menghapuskan segala kontrak sosial dan apa yang termaktub di dalam perlembagaan mengenai keistimewaan kaum Melayu dan ini disifatkan sebagai satu usaha jahat.

Menurutnya, Waytha Moorthy juga sekali lagi cuba mengundang kemarahan umat Islam dan Bumiputera di negara ini dengan usahanya untuk meratifikasi dan mengesahkan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

“Beliau begitu angkuh walaupun kerajaan dan majoriti rakyat melihatnya sebagai suatu usaha mencabar hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera serta kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan yang sememangnya isu yang amat sensitif.

“Waytha Moorthy seharusnya lebih peka dengan tanggungjawabnya bagi menjaga perpaduan dan keharmonian, bukannya mengundang kepada perpecahan kaum, jika dia berniat lain, beliau seharusnya melepaskan jawatan sebagai menteri,” katanya.

3201 dibaca
Berita Harian X