Ahad, 18 November 2018 | 1:03am
PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (kanan) ketika hadir di Himpunan Perpaduan Ummah di Kampung Gajah. - Foto MUHAIZAN YAHYA

Perhimpunan besar-besaran 8 Disember bantah ICERD

KAMPUNG GAJAH: Satu perhimpunan besar-besaran membabitkan penyertaan ahli PAS dan UMNO akan diadakan di ibu negara pada 8 Disember ini bagi membantah cadangan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata perhimpunan itu bertujuan menyatakan bantahan orang Melayu dan Islam terhadap tindakan Kerajaan Persekutuan yang dikatakan mahu meratifikasi atau mengesahkan ICERD.


SEBAHAGIAN orang ramai yang hadir di Himpunan Perpaduan Ummah di Kampung Gajah. - Foto MUHAIZAN YAHYA

“Kita bukan mahu menimbulkan huru-hara tapi mahu membetulkan keadaan. Kita nak buat perhimpunan aman, rakyat majoriti berhak bersuara (membantah ICERD),” katanya berucap pada Himpunan Perpaduan Ummah di pekan Kampung Gajah di sini malam ini.

Kira-kira 30,000 ahli PAS dan UMNO hadir pada perhimpunan yang dihadiri kepimpinan tertinggi kedua-dua parti berkenaan termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Serentak itu, kutipan tabung turut dilancarkan bagi membiayai perhimpunan pada 8 Disember ini.

Bulan lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy, dilaporkan menyatakan kerajaan akan meratifikasi atau mengesahkan enam bentuk perjanjian antarabangsa termasuk ICERD dalam suku pertama tahun depan.

Bagaimanapun, semalam, Waytha dipetik sebagai berkata kerajaan masih tiada kata putus berhubung hasrat meratifikasi konvensyen berkenaan dan sesi mendapatkan pandangan serta maklum balas daripada semua pihak berkaitan perkara itu akan dimulakan pada Januari depan.

Abdul Hadi berkata, berdasarkan sejarah, PAS dan UMNO akan bersatu apabila ada kepentingan bersama terutama membabitkan isu orang Islam dan Bumiputera.

Beliau memberi contoh, Presiden UMNO, Tunku Abdul Rahman Putra dan Presiden PAS, Dr Burhanuddin al-Helmy berkongsi pentas di Melaka bagi menuntut kemerdekaan, begitu juga selepas peristiwa 13 Mei 1969 apabila PAS bersama UMNO dan parti komponen lain membentuk Barisan Nasional (BN).

Katanya, UMNO, PAS, MCA dan MIC sama-sama membentuk Perlembagaan Negara yang antara lain mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan dan hak istimewa orang Melayu.

Bagaimanapun, katanya, sekarang ada pemimpin kerajaan yang baru ‘setahun jagung’ memegang jawatan mahu cuba membawa unsur luar yang menghakis inti pati Perlembagaan dan menuduh pula orang yang menentang ICERD sebagai tidak faham perkara itu.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata UMNO akan menyokong perhimpunan pada 8 Disember ini dan mahu perhimpunan ummah yang menggabungkan ahli UMNO dan PAS diadakan di setiap negeri di Semenanjung.

Katanya, jika tiada pengisytiharan daripada kerajaan untuk menolak ICERD, orang Melayu di seluruh negara akan bangkit bagi menentang perkara berkenaan.

Beliau berkata, dalam kamus Inggeris, perkataan ‘amuk’ dipinjam daripada bahasa Melayu yang menunjukkan bahawa orang Melayu boleh mengamuk jika hak mereka dicabar.

“Insya-Allah, kita bercantumlah, kita ketepikan perbezaan antara kita, atas nama Melayu, Islam, Malaysia, Bumiputera Sabah dan Sarawak (bantah ICERD),” katanya.

Berita Harian X